'Kami sudah biasa makan nasi tanpa lauk malah sanggup tak makan asalkan anak-anak dapat makan'

'Kami sudah biasa makan nasi tanpa lauk malah sanggup tak makan asalkan anak-anak dapat makan'

am@hmetro.com.my

Kuala Krai: “Kami sudah biasa makan nasi tanpa lauk. Ada kalanya kami catu makanan dan kalau tak cukup, saya dan suami sanggup berlapar asalkan anak-anak dapat makan,” kata Norleyhamira Ismail.

Norleyhamira, 36, berkata, mereka bukan sahaja diuji dengan kedaifan hidup, malah anak keempat, Muhammad Adam Haikal Muhammad Zulhaffiz, 13, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkebang disahkan menghidap jantung berlubang serta tulang rapuh (osteogenesis imperfecta) sejak berusia lapan tahun.

Katanya, suaminya, Muhammad Zulhaffiz Abdullah, 36, melakukan pelbagai kerja kampung dengan pendapatan tidak menentu untuk menyara keluarga dan ada kalanya memperoleh upah RM60 sehari, bergantung pada kerja yang ditawarkan.

“Akibat desakan hidup, ada ketikanya saya tebalkan muka dengan meminjam wang daripada jiran semata-mata untuk membeli beras bagi mengalas perut kami sekeluarga.

“Makan nasi kosong dengan kicap pun sudah cukup bagi kami, yang penting anak-anak dapat makan. Syukur kerana anak-anak faham dan tidak pernah minta lebih daripada itu,” katanya ditemui di rumah sewanya di RPT Sungai Pas, Kuala Krai, di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society Che Norhayati Mohamed menyerahkan sumbangan barang keperluan asas dan wang zakat bagi mengurangkan beban ditanggung keluarga berkenaan.

Tambah Norleyhamira, kekangan kewangan turut memaksa tiga anaknya yang masih bersekolah berusia lapan hingga 17 tahun tidak hadir ke sekolah kerana tiada wang belanja.

“Pernah seminggu anak-anak tidak ke sekolah kerana kami tiada wang untuk beri sebagai duit belanja,” katanya sebak.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) di 0350141000008113 atas nama Norleyhamira Ismail.

Katanya, anak sulung, Muhammad Hazmie Daniel, 19, kini bekerja membantu bapanya mencari rezeki manakala anak ketiga, Muhammad Lutfi, 15, mengambil keputusan berhenti sekolah awal tahun ini demi membantu keluarga.

Bercerita mengenai keadaan anak keempatnya yang menghidap jantung berlubang serta tulang rapuh, Norleyhamira berkata, keadaan itu menyebabkan Muhammad Adam Haikal mudah penat, sering demam dan wajah serta badannya akan bertukar kebiruan apabila sukar bernafas.

“Pada masa sama, masalah tulang rapuh menyebabkan anak berisiko tinggi untuk patah tulang sekiranya terjatuh dan keadaan itu membataskan aktiviti hariannya, termasuk ke sekolah,” katanya.

Norleyhamira berkata, akibat kesempitan hidup, mereka turut berdepan tunggakan sewa rumah selama tiga bulan melebihi RM300, selain bil elektrik yang tertunggak hampir RM500.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top