Kami tak bantu warga asing dapatkan taraf warganegara – ADUN Stulang

Kami tak bantu warga asing dapatkan taraf warganegara – ADUN Stulang

farid_noh@bharian.com.my

Johor Bahru: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng, menafikan Program Taklimat dan Penerangan Kewarganegaraan yang mahu dianjurkannya bertujuan membantu warga asing memohon kewarganegaraan.

Menjelaskan perkara itu, Andrew berkata, salah faham itu timbul berikutan kekeliruan pada tajuk poster berkenaan yang tular.

Sebaliknya, katanya program itu adalah untuk memberi penerangan, kesedaran dan pemahaman kepada warganegara Malaysia yang ahli keluarga mereka menghadapi masalah ketiadanegaraan (statelessness).

“Merujuk kepada tajuk poster program yang telah menimbulkan kekeliruan pelbagai pihak baru-baru ini, saya sebagai wakil rakyat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang ingin menjelaskan bahawa program itu bukan untuk membantu warga asing memohon kewarganegaraan.

“Hanya apabila poster infografik dan kapsyen yang dimuat naik sebelum ini dibaca berasingan sesetengah pihak, ia menimbulkan kekeliruan daripada tujuan asal program taklimat kami.

“Kami tidak sama sekali pernah bermaksud untuk menjanjikan status kewarganegaraan kepada sesiapa, kerana perundangan berkaitan status ini jelas termaktub dalam Perlembagaan negara dan proses yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga wajib dipatuhi,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebook, hari ini.

Semalam, majlis taklimat dan penerangan kewarganegaraan anjuran Pusat Khidmat DUN Stulang yang dijadualkan 30 Jun depan, dilaporkan ditangguhkan selepas mencetuskan kontroversi dan kecaman awam.

Andrew yang juga Setiausaha DAP Johor dilaporkan berkata, taklimat berkenaan diadakan bagi menangani isu tidak memiliki status kewarganegaraan atau sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa, selain sebab-sebab lain.

Bagaimanapun, katanya, penganjuran program itu menimbulkan salah faham ramai susulan penularan posternya.

Terdahulu, poster program berkenaan yang tular di media sosial hari ini menyebabkan ia dikecam dan disifatkan sebagai acara bagi memberi pendatang asing di negeri ini taraf kewarganegaraan.

Malah ada pengguna media sosial meminta pihak berkuasa menyiasat pengajuran acara berkenaan.

Pemuda UMNO Johor semalam dilaporkan mendesak program itu dibatalkan serta merta.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros, dilaporkan berkata program berkenaan dilihat sebagai satu bentuk provokasi yang akan mengundang kepada ketidaktenteraman.

Hari ini, Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali dilaporkan menyifatkan program Taklimat dan Penerangan Kewarganegaraan itu, sebagai tidak menyalahi undang-undang.

Dalam pada itu, Andrew berharap, penjelasan yang dibuat dapat meredakan kekeliruan yang telah timbul dari tajuk poster program itu.

Katanya, beliau juga berharap spekulasi mengenai program berkenaan tidak diperbesarkan lagi.

“Program taklimat ini telah direncanakan bagi memberi pemahaman yang lebih jelas kepada golongan terbabit isu ketiadanegaraan

berurusan dengan jabatan kerajaan yang berkaitan, terutamanya JPN Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Imigresen Malaysia.

“Sebagai ADUN Stulang, Pusat Khidmat saya sering didatangi penduduk yang menghadapi masalah isu kewarganegaraan atas pelbagai faktor seperti keruntuhan rumah tangga seterusnya dokumentasi anak ini terabai sehingga menjejaskan masa depan mereka.

“Sebagai contoh, perkahwinan tidak sah taraf antara pasangan akan menemui jalan buntu apabila dokumentasi yang diperlukan seperti sijil perkahwinan yang didaftarkan di Malaysia, dokumen pengenalan diri ibu atau bapa yang bukan warganegara tidak dapat diperakui,” katanya.

Beliau berkata, antara golongan yang selalu terkesan dengan masalah ini adalah warganegara Malaysia daripada kategori B40 yang berkahwin dengan warganegara asing dan mendapat zuriat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top