KUALA LUMPUR – Penyanyi Datuk Nora menyifatkan penceraiannya yang diumumkan pada bulan lalu adalah sesuatu yang tidak pernah terfikir akan berlaku dalam hidupnya.
Wanita berusia 51 tahun itu berkata, apa berlaku amat mengejut kerana terlalu pantas di hadapan dirinya selepas menunaikan solat Subuh.
Katanya, sebaik bekas suaminya menerima panggilan telefon daripada seseorang dan selepas itu cerai dilafaz tanpa diduga kerana mereka tidak pernah bergaduh sepanjang rumah tangga.
Namun dia menolak dakwaaan Dr. Rushdi Ramli terpaksa melafazkan cerai itu kerana menerima ugutan bersenjata.
“Tidak adalah sampai begitu sekali dan saya pun tak sangka netizen berspekulasi sampai tahap itu. Yang sebetulnya, bekas suami memang berada depan saya sewaktu melafazkan cerai
“Cuma disebabkan terlalu emosi, saya terus merakam perceraian dan memuat naik di media sosial,” luahnya kesal.

Nora berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media Konsert Hanya Satu Datuk Nora Ariffin 30 Years Journey di sini hari ini.
Pada 12 Ogos lalu, Nora menggemparkan dunia hiburan tanah air selepas rakaman suaminya melafazkan cerai tular di media sosial.
Rakaman tersebut dimuat naik penyanyi itu sendiri di Instagram miliknya
Mengulas lanjut, Nora mengakui kesilapan memuatnaik rakaman video itu namun apa yang dilakukannya bersebab dan terlalu beremosi.
Katanya, dalam keadaan terkejut, dia hanya mahu memberitahu kepada umum bahawa dia telah bercerai.
Namun Nora menjelaskan, dia telah memohon maaf kepada Rushdi atas tindakannya itu dan mereka kini kekal berkawan baik.
“Sebagai manusia, saya tidak mampu mengawal emosi dan berfikir secara rasional kerana waktu itu apa yang berlaku mengejutkan dan menyebabkan trauma kepada diri saya.
“Sebenarnya tujuan saya kongsikan video itu hanya untuk menjelaskan status terkini namun saya sudah memohon maaf kepada bekas suami dan dia sudah memaafkan saya kerana tahu keadaan saya ketika itu dan sekarang ini hubungan kami kekal baik,” katanya.

Nora memberitahu, rakaman video itu berlaku lebih awal dan bukannya lafaz cerai dibuat pada 12 Ogos lalu namun dia enggan mengula lanjut.
Pasangan itu bergelar suami isteri pada 2021 di mama Rushdi adalah sahabat baik suami Nora iaitu Allahyarham Johan Nawawi.
Johan yang juga komposer terkenal meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung pada usia 52 tahun. – MalaysiaGazette



