harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menafikan dakwaan pihaknya bersubahat dan melindungi ahli perniagaan, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman dalam satu pelaburan yang dikatakan menipu pelabur.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, semua orang mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat masing-masing bukan saja mangsa malah individu yang dituduh.
“Kami tidak pernah kata Datuk Seri Mahadi tidak bersalah, kami tak sahkan dia bukan scammer, dan peranan kami adalah untuk membantu pelabur dapatkan semula wang mereka menggunakan kaedah alternatif.
“Sidang media itu tidak bermaksud MHO menyokong, bahkan Mahadi sendiri membuat laporan polis mengatakan dia rugi RM20.7 juta.
“Kalau laporan itu palsu, polis patut siasat, jika betul palsu beliau boleh dipenjara dua tahun, kami tiada kuasa menyiasat secara mendalam, kami hanya boleh bertindak berdasarkan dokumen yang dibawa kepada kami, “katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab tuduhan ke atas dirinya dan MHO yang dibuat sebuah halaman Facebook menerusi satu hantaran.
Mengulas lanjut Hishamuddin berkata, secara peribadi beliau merasakan ahli perniagaan itu ada melakukan kesalahan dari segi mempromosikan pelaburan yang tidak berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bagaimanapun katanya, tujuan pihaknya memanggil Mahadi untuk hadir pada sidang media berkenaan adalah atas persetujuan pengadu dan ejen berkenaan.
Katanya, justeru pihak MHO sebagai pihak yang mewakili mangsa-mangsa berkenaan secara rasmi menjemput Mahadi untuk menjelaskan berhubung pelaburan itu atas persetujuan ahli perniagaan berkenaan.
“Kami membantu pelabur yang datang dengan dokumen dan bukti, tetapi kami tidak pernah kata Mahadi itu ‘bersih’
“Bahkan, saya secara peribadi ada tanya beliau (Mahadi), tak rasa bersalah ke bila semua orang sedih dan menangis. Dan dia mengaku dia rasa bersalah.
“Jadi, pengadu kami rasakan Mahadi tidak boleh lepas tangan, kalau dia yang buat promosi, dia juga kena bantu untuk dapatkan balik wang pelabur, “katanya.
Mengulas mengenai yuran dikenakan kepada pengadu Hishamuddin berkata caj berkenaan digunakan untuk menampung kos guaman, aktivis dan tenaga kerja.
Katanya, Mahadi sendiri membayar yuran berjumlah RM2,500 bagi mendapatkan perkhidmatan dan bantuan daripada pihak MHO serta menegaskan ia bukan satu bentuk sogokan kerana kesemua pembayaran mempunyai dokumen pengesahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd