am@hmetro.com.my
Ipoh: Kakitangan Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida masih menjalankan rutin pekerjaan mereka seperti biasa di banglo usahawan kosmetik itu di sini, hari ini.
Tinjauan 45 minit bermula 10.20 pagi di lokasi mendapati, tiada pergerakan keluar masuk selepas kediaman dan empat kenderaan milik usahawan kosmetik itu disita selepas beliau dilaporkan gagal melangsaikan hutang kepada syarikat kontraktor pembinaan sebanyak RM 1,060,285 sejak 2018.
Seorang pekerja lelaki yang enggan dikenali berkata, dia hanya mengetahui kediaman majikannya disita, semalam semasa Bailif Mahkamah Tinggi Ipoh dan wakil syarikat hadir melaksanakan proses penyitaan barangan di banglo itu.
“Kami tidak tahu apa-apa. Pagi semalam apabila ramai orang datang depan kediaman ini baru kami tahu (ada sitaan),” katanya yang sudah bertugas 12 tahun.
Menurutnnya, pekerja di kediaman itu akan meneruskan pekerjaan mereka seperti biasa sehingga mendapat arahan lanjut daripada Hasmiza.
“Kami tiada kumpulan WhatsApp. Bagaimanapun, kami ambil maklum hantaran Datuk Vida di media sosialnya malam tadi yang meminta supaya beliau diberikan ruang untuk menangani perkara ini,” katanya.
Semalam, Bailif Mahkamah Tinggi Ipoh ditemani peguam, Samir Zainal dan wakil subkontraktor, Mohamad Taufik Kamarul, tiba di kediaman Hasmiza di Persiaran Bukit Meru untuk proses sitaan banglo dan empat kenderaan.
Perintah penyitaan itu dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Malam tadi, Hasmiza, 53, menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan bahawa beliau sudah melantik peguam bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Datuk Vida lantik peguam, mahu selesai ikut undang-undang
Barang rumah, 4 kereta Datuk Vida disita
© New Straits Times Press (M) Bhd




