news@nst.com.my
Kota Kinabalu: Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir mendakwa beliau tidak diberikan sebarang penjelasan berhubung kepentingan proses bedah siasat sebelum menandatangani borang penolakan prosedur berkenaan.
Noraidah Lamat, 46, memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini, bahawa beliau bersama adik iparnya, Nur Shira, menandatangani borang berkenaan dalam keadaan panik dan diselubungi kesedihan melampau.
“Kami menandatangani borang itu kerana panik dan terlalu sedih.
“Ketika itu, apa yang difikirkan hanyalah mahu menyegerakan urusan jenazah Zara kerana kami juga perlu mengambil kira perjalanan pulang ke Sipitang yang memakan masa kira-kira tiga jam,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufri, Noraidah berkata, beliau memahami bahawa proses bedah siasat membabitkan pembedahan tubuh dan pemeriksaan organ dalaman.
Beliau berkata, seorang doktor ada bertanyakan sama ada beliau mahu bedah siasat dijalankan ke atas Zara, namun beliau menolaknya kerana berasa kasihan dengan keadaan anaknya itu.
“Doktor tidak menjelaskan tujuannya. Doktor hanya bertanya secara lembut, ‘Puan, puan mahu anak puan menjalani bedah siasat?’
“Saya sangat sedih dan menjawab, ‘Saya tidak mahu anak saya dibedah siasat. Saya kasihan dengannya,'” katanya.
Ketika disoal lanjut oleh Shahlan, Noraidah menafikan beliau ada menerima sebarang penjelasan daripada Dr Logaraj Ratha, yang sebelum ini memberi keterangan bahawa beliau telah menerangkan keperluan dan kepentingan bedah siasat kepadanya dan keluarga sebelum keputusan menolak prosedur itu dibuat.
Menerusi keterangan doktor berkenaan sebelum ini, beliau turut menjelaskan bahawa tanpa bedah siasat, pihak keluarga tidak akan dapat membuat sebarang tuntutan atau memperoleh laporan rasmi mengenai punca kematian.
Noraidah bagaimanapun menegaskan beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.
Apabila ditanya sama ada beliau ada membaca borang sebelum menandatanganinya, Noraidah berkata, beliau hanya membaca sepintas lalu dan tidak memahami kandungannya.
“Saya hanya baca ringkas dan tidak faham apa yang tertulis dalam borang itu.
“Pada waktu itu, saya terlalu sedih dan panik. Badan saya terketar-ketar dan saya tidak dapat mencerna apa sahaja yang tertulis pada borang berkenaan,” katanya.
Noraidah turut memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak menerima salinan borang tersebut semasa menandatanganinya.
Katanya, seorang pegawai polis wanita kemudiannya memberikan salinan borang berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp selepas dokumen itu dibincangkan ketika sesi rakaman percakapan dibuat.
Zara ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Pihak berkuasa kemudian bertindak menggali semula kubur mangsa pada 9 Ogos 2025 bagi membolehkan proses bedah siasat dijalankan pada hari berikutnya di Jabatan Perubatan Forensik HQE.
Pada 20 Ogos 2025, lima kanak-kanak bawah umur yang dinamakan sebagai Pelajar A, B, C, D dan E dihadapkan ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak atas pertuduhan menghina Zara.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan prosiding perbicaraan masih berjalan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




