am@hmetro.com.my
Alor Setar: “Kami tunggu dia pulang ke rumah hari ini sebab sepatutnya malam ini kami pulang ke kampung di Bagan Serai, Perak untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.
“Tetapi tak sangka kami hanya menuntut jenazahnya pulang,” kata Mohd Sobri Khamis, 47, bapa kepada Muhammad Habil, seorang daripada tiga penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra yang maut dalam kemalangan di KM49.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan hari ini.
Mohd Sobri berkata, anak sulung dari empat beradik itu ada memberitahu isterinya, Sarah Abdul Rashid, 42, yang dia akan pulang ke rumah mereka di Kampung Paya Mengkuang, Gurun kira-kira dua hari lalu.
Katanya, arwah lebih rapat dengan ibunya dan sering berhubung menerusi panggilan telefon hampir setiap hari.
“Dia selalu pulang setiap minggu ke rumah dan kali terakhir saya bertemu dengannya, minggu lalu.
“Saya mengetahui kemalangan yang menimpa arwah selepas dihubungi anak saudara dan mungkin orang awam guna nombor terakhir yang arwah hubungi iaitu sepupunya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.
Menurutnya, Muhammad Habil seorang anak yang baik dan menjadi harapan keluarga, bahkan arwah mempunyai setahun setengah lagi untuk menamatkan pengajian di IKBN Jitra.
Katanya lagi, kepulangan ke kampung isterinya malam ini dibatalkan dan mereka akan menguruskan jenazah Muhammad Habil untuk dikebumikan di Kampung Paya Mengkuang selepas selesai bedah siasat.
Media sebelum ini melaporkan Muhammad Habil dan dua lagi rakannya meninggal dunia selepas dua motosikal ditunggang mereka kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna di KM49.4 Lebuhraya Utara Selatan.
Tragedi pulang beraya, 3 penuntut IKBN Jitra maut kemalangan
Gurauan akhir 3 rakan… ‘aku pi dulu na’
Kemalangan korban 3 penuntut IKBN Jitra: Pemandu MPV ditahan
© New Straits Times Press (M) Bhd




