Kampung Jerantut Feri kini makin berseri-seri

Kampung Jerantut Feri kini makin berseri-seri

am@hmetro.com.my

Jerantut: “Ini kampung kelahiran saya dan hasrat saya terus bantu penduduk di sini,” kata Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim dan menjadi motivasi kepada beliau berbakti untuk masyarakat di Kampung Jerantut Feri, di sini.

Beliau berkata, menerusi hubungan baik dengan pemimpin dan masyarakat di kampung berkenaan juga memudahkannya berkongsi pandangan dan menyelami kehendak serta masalah penduduk.

Katanya, pandangan dikongsi di akar umbi diguna beliau selaku ketua jabatan sebagai penghubung dengan kerajaan untuk melaksanakan Program Kampung Angkat MADANI.

“Sebagai ketua jabatan, sudah tentu saya memilih kampung saya dibesarkan dan bersekolah untuk menyumbang bakti.

“Saya kerap balik kampung dan sering berbincang dengan penduduk dan pemimpin setempat mengenai masalah, kehendak serta keperluan mereka.

“Impian mereka saya realisasikan menerusi peruntukan RM1 juta untuk menyediakan kemudahan asas, membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur sedia ada,” katanya ketika ditemui selepas lawatan Tapak Projek Kampung Angkat MADANI Jabatan Wilayah Persekutuan di sini, baru-baru ini.

Noridah berkata, antara projek dilakukan ialah menaik taraf balai raya, tandas, gelanggang futsal, padang bola, trek riadah membabitkan kos lebih RM500,000.

Menurutnya, projek lain dilaksanakan ialah pembaikan jalan kampung, pemasangan lampu solar, penyelenggaraan fasiliti sekolah dan masjid.

“Semua projek dirancang kini hampir siap 100 peratus dan memberi impak positif kepada kesejahteraan, keselamatan serta pembangunan komuniti secara menyeluruh.

“Kejayaan projek ini hasil kerjasama baik antara agensi kerajaan di peringkat daerah, negeri, pemimpin dan masyarakat setempat.

“Semua berganding bahu dan menjadi penggerak dan pemudah cara merealisasikan perlaksanaan projek ini serta manfaatnya dinikmati penduduk,” katanya.

Menurut Noridah, Program Kampung Angkat MADANI diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 dan Belanjawan 2025, ilham Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi ruang kepada pegawai kanan kerajaan mendengar denyut nadi rakyat di akar umbi secara terus.

Katanya, pelaksanaan program itu menumpukan penyediaan dan penyelenggaraan kemudahan asas seperti air, elektrik, jalan, lampu jalan serta internet.

Kampung Jerantut Feri mempunyai 4,000 penduduk adalah laluan utama ke Taman Negara Kuala Tahan di sini, antara 200 kampung terpilih di seluruh negara untuk perlaksanaan Program Kampung Angkat MADANI.

Kampung itu dinamakan sempena simbolik warisan perkhidmatan feri sebagai penghubung utama penduduk menyeberangi Sungai Pahang sejak 1918.

Pengangkutan itu tidak digunakan lagi selepas Jambatan Sultan Abdullah menyeberangi sungai berkenaan siap dibina pada 1978.

Noridah berkata, sejak dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI, Jabatan Wilayah Persekutuan turut melaksanakan pelbagai program pembangunan modal insan untuk semua lapisan masyarakat di kampung itu.

Katanya, antara program dianjurkan kursus kemahiran dan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kemajuan pendidikan generasi muda.

“Saya berasal dari keluarga miskin dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsan (SK) Pedah dan sudah tentu akan membantu sekolah itu.

“Pada masa sama saya juga mahu penduduk kampung ini berjaya dalam pendidikan dan menyemai kesedaran masyarakat mengenai kepentingan aspek itu,” katanya.

Menurut Noridah, Kampung Jerantut Feri merupakan laluan ke Taman Negara dan terletak berhampiran beberapa destinasi pelancongan terkenal seperti Paya Gunung dan Ulu Cheka turut memberi kelebihan kepada penduduk mengembangkan kemudahan inap desa.

“Kerjasama masyarakat dan sikap ambil berat antara satu sama lain menjadikan kampung ini model komuniti desa yang progresif serta bersatu.

“Ekonomi desa berteraskan pertanian tradisional dan penternakan kecil boleh dikembangkan melalui konsep agropelancongan, lawatan ladang serta produk hiliran makanan tempatan.

“Semua itu, berpotensi mewujudkan peluang ekonomi baharu untuk penduduk dan usahawan desa di kampung ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top