Kampung Sungai Baru: Pemaju perlu siapkan 2 blok perumahan seperti dijanjikan

Kampung Sungai Baru: Pemaju perlu siapkan 2 blok perumahan seperti dijanjikan

Kuala Lumpur: Pemaju projek Kampung Sungai Baru, di sini, digesa menyiapkan dua blok perumahan seperti dijanjikan sejak lapan tahun lalu bagi membolehkan penduduk yang berpindah sementara kembali ke penempatan asal.

Ahli Parlimen Titiwangsa merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia penting untuk memulihkan keyakinan penduduk bahawa pemaju mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk menyiapkan unit baharu seperti dijanjikan kepada penduduk.

“Sehingga kini lebih 300 penduduk penduduk sudah berpindah dan hanya 14 keluarga di rumah teres yang belum keluar di kampung itu.

“Pemaju perlu siapkan dahulu dua blok baharu dengan menggunakan kawasan blok flat lama yang sudah diroboh dan diratakan,” katanya memetik laporan sebuah akhbar selepas Majlis Pelancaran MSPO Impact Alliance, di sini hari ini.

Katanya, kegagalan memulakan pembinaan semula selepas tempoh menunggu yang terlalu lama menimbulkan keresahan penduduk dan turut mencadangkan supaya pihak berkenaan berbincang bersama UDA Holdings Berhad (UDA) jika tidak berkemampuan.

“Ini sudah lapan tahun. Tanyalah pemaju, bila mahu mulakan?. Ketika saya menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) saya menasihatkan mereka supaya tidak menandatangani sebarang persetujuan dengan pemaju kerana tidak ada kekuatan kewangan dan pengalaman”

“Namun selepas saya kalah pada PRU-14, pemaju mula bertindak dan 67 peratus penduduk menandatangani persetujuan, walaupun 33 peratus lagi menolak. Inilah punca masalah yang timbul,” katanya ketika diminta mengulas tempoh pembinaan itu perlu disiapakan.

Katanya, Akta Pengambilan Tanah 1960 digunakan secara tidak wajar bagi membolehkan pemaju menggabungkan rumah flat dan rumah teres untuk pembangunan semula walaupun ada penduduk menolak.

Dalam pada itu, Johari berkata, sebarang pembangunan Kampung Sungai Baru perlu mengambil kira kepentingan orang Melayu dengan memastikan hak mereka terjaga.

Difahamkan, 14 penduduk Kampung Sungai Baru enggan mengosongkan kediaman mereka kerana tidak berpuas hati dengan nilai pampasan dan bentuk penempatan semula serta proses pengambilan tanah yang dikatakan tidak telus.

Pada 11 September lalu, media melaporkan kekecohan berlaku ketika operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, di sini sehingga menyebabkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera akibat dibaling batu.

Operasi berkenaan susulan arahan mahkamah bagi melaksanakan proses perobohan struktur rumah di kawasan berkenaan dengan diketuai oleh bailif mahkamah bersama beberapa agensi berkaitan.

Proses pengambilan tanah bagi pembangunan semula kawasan itu bermula sejak tahun 2016 dan membabitkan keseluruhan 67 unit rumah teres serta 14 blok pangsapuri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top