Kampung tumpuan kera, babi

Kampung tumpuan kera, babi

razis@mediaprima.com.my

Semenyih: Penduduk Kampung Rinching Hilir dan Kampung Batu Lima di sini berdepan tekanan akibat ancaman berterusan serangan kera dan babi hutan di perkampungan mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Haiwan liar ini bukan sahaja merosakkan tanaman, malah mengancam keselamatan kira-kira 2,000 penduduk setempat ketika menjalani rutin harian.

Terbaharu, seorang warga emas cedera selepas diserang babi liar ketika membersihkan kebunnya.

Menceritakan kembali kejadian itu, Che Ros Jantan, 69, berkata, dia diserang babi dianggarkan seberat lebih 100 kilogram yang bersembunyi di kawasan semak berhampiran.

Katanya, babi itu menyondolnya beberapa kali sehingga terjatuh, malah dia menerima tujuh jahitan akibat kecederaan di kaki.

“Apabila nak bangun, ia terus menyerang lagi. Pada ketika itu saya hanya mampu berdoa upaya tidak terus diserang.

“Serangan menyebabkan kaki saya luka dan saya terpaksa merangkak perlahan-lahan ke rumah sejauh kira-kira 30 meter untuk menyelamatkan diri,” katanya ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, ketika awal kecederaan, dia terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak dan bergantung kepada anak-anak dalam mengurus keperluan harian.

Che Ros berkata, kawasan perkampungan itu menjadi tumpuan kera dan babi sejak beberapa tahun lalu berikutan hutan berhampiran yang menjadi habitat haiwan terbabit projek pembangunan.

“Kesannya, kampung kami menjadi tumpuan haiwan ini mendapatkan sumber makanan dan kami terdedah pada ancaman diserang,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Batu Lima, Mohd Ikhsan Saring, 74, berkata, masalah serangan kera yang semakin berleluasa telah menjejaskan tanaman serta menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan harian, terutama ke atas warga emas dan kanak-kanak.

“Kera sering memanjat bumbung rumah, melompat dari pokok berhampiran dan satu bumbung ke bumbung lain, terutamanya pada waktu petang. Malah ada berlaku kejadian kera masuk rumah penduduk.

“Haiwan ini menyerang tanaman penduduk termasuk pokok pisang dan ubi yang ditanam untuk kegunaan sendiri. Tanam sikit-sikit pun tak dapat nak makan. Kita pagar dengan zink keliling pun ia tetap habis (dikerjakan kera),” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Komuniti Desa Madani Kampung Rinching Hilir, Mohamad Maswari Moskam menyifatkan ia keadaan membimbangkan apabila haiwan liar itu mula menyerang manusia.

“Sudah beberapa kali aduan dibuat dan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) turut menjalankan operasi termasuk memasang perangkap.

“Saya berharap pihak berkuasa dan jabatan berkaitan dapat tampil dengan penyelesaian lebih menyeluruh dan bersepadu bagi menangani konflik manusia dan hidupan liar demi menjamin keselamatan komuniti desa yang terjejas,” katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top