OTTAWA: Kanada semalam meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 untuk remaja berumur 12 tahun ke atas, menjadi negara pertama yang melakukannya.
“Ini adalah vaksin pertama yang diluluskan di Kanada untuk pencegahan COVID-19 pada remaja dan menandakan tonggak penting dalam memerangi pandemik,” kata ketua penasihat perubatan Kesihatan Kanada, Supriya Sharma, pada sidang akhbar.
Data dari ujian klinikal di Amerika Syarikat (AS) yang membabitkan lebih 2,000 remaja yang diberi dua dos menunjukkan ia adalah selamat untuk remaja sama seperti untuk orang dewasa, katanya.
Tidak ada kes COVID-19 yang direkodkan dalam kalangan remaja yang diberi vaksin. Pada orang dewasa ia telah menunjukkan sekurang-kurangnya 95 peratus berkesan dalam mencegah jangkitan.
Vaksin ini dibenarkan untuk digunakan pada rakyat Kanada berusia 16 tahun ke atas pada Disember.
Pengeluar lain dari empat vaksin yang dibenarkan di Kanada – AstraZeneca, Johnson & Johnson dan Moderna – sedang menjalankan atau merancang kajian mereka sendiri terhadap kanak-kanak seawal usia enam bulan.
Sharma menyatakan Health Canada akan mempercepat penilaian terhadap ujian terbabit.
Sejak bermulanya pandemik, kira-kira 20 peratus daripada semua kes COVID-19 di Kanada direkodkan pada orang di bawah usia 19 tahun.
Setakat semalam, hampir 1.25 juta orang di negara ini telah didiagnosis menghidap COVID-19. Lebih daripada 24,000 mati.
Walaupun orang muda kurang cenderung mengalami penyakit serius dari COVID-19, Sharma menyatakan, ‘mempunyai akses ke vaksin yang selamat dan berkesan akan membantu mengawal penyebaran penyakit ini kepada keluarga dan rakan mereka, beberapa di antaranya mungkin mengalami komplikasi berisiko tinggi’.
“Ini juga akan menyokong kepada kembalinya kehidupan yang lebih normal bagi anak-anak kita yang mengalami kesulitan sepanjang tahun ini,” katanya.
AS dilaporkan akan membenarkan vaksin Pfizer-BioNTech untuk digunakan pada remaja berumur 12-15 tahun minggu depan. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




