Kanak-kanak 10 tahun maut motosikal bertembung lori muatan tanah

Kanak-kanak 10 tahun maut motosikal bertembung lori muatan tanah

am@hmetro.com.my

Kuala Krai: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan lori muatan tanah dan motosikal di kawasan bukit Pelampong, Jalan Kampung Chenis, Pahi, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 10.55 pagi itu, mangsa Muhammad Syafiq Rifqi Saidi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Difahamkan, mangsa terjatuh dari motosikal yang ditunggang bapa saudaranya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kuala Krai, Deputi Superintendan Mohd Maizan Mustaffa berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik menerima makluman mengenai kejadian itu jam 11.30 pagi daripada anggota bertugas di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 10.55 pagi apabila sebuah lori yang datang dari arah Jalan Utama Kota Bharu–Gua Musang menuju ke Kampung Chenis untuk menghantar tanah bertembung dengan motosikal yang dinaiki mangsa menuju keluar dari kampung berkenaan.

“Apabila sampai di lokasi kejadian motosikal yang dinaiki mangsa terlanggar bahagian kanan lori yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penunggang motosikal hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top