am@hmetro.com.my
Seremban: Kanak-kanak berusia enam tahun cedera di beberapa bahagian badan selepas dikatakan dilanggar van sekolah yang menghantarnya di Taman Mantau Indah 3, di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, mangsa dikatakan berjalan di hadapan van berkenaan sebelum dilanggar.
“Siasatan awal mendapati ketika kejadian pemandu van sekolah jenis Kia Pregio itu dipandu seorang wanita berusia 38 tahun dalam perjalanan dari Tabika Perpaduan Taman Mantau Indah.
“Van itu hendak menghantar mangsa ke rumah pengasuhnya di jalan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Katanya, apabila sampai di lokasi, mangsa dikatakan turun dari van dan berjalan di hadapan van untuk melintas ke rumah pengasuh.
Mohamad Hatta berkata, ketika mangsa berada di hadapan van, pemandu van dipercayai bergerak dan terlanggar mangsa menyebabkan mangsa terjatuh.
“Akibat kemalangan itu, mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala, badan, tangan dan kaki,” katanya.
Katanya, individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Sekyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Mohamad Hatta turut pihak menasihatkan pemandu pengangkutan awam untuk sentiasa peka dengan pergerakan penumpang selepas keluar dari kenderaan dan pastikan penumpang selamat sampai ke destinasi sebelum meneruskan perjalanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd