am@hmetro.com.my
Pitas: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dikhuatiri lemas selepas pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki bersama ibu bapanya dihanyutkan kepala air di Kampung Bumbung, di sini, Rabu lalu.
Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, mangsa, Angelina Kardin, warga Filipina, masih belum ditemui sehingga operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga, hari ini.
Menurut maklumat awal polis, kejadian berlaku ketika kenderaan terbabit melintasi jambatan sebelum tiba-tiba dihanyutkan kepala air hingga menyebabkan ia berpusing.
Angelina didakwa sempat keluar dari kenderaan namun dihanyutkan arus deras. Ibunya yang cuba menyelamatkannya turut hanyut dan ditemui meninggal dunia tersangkut pada ranting kayu di Jambatan Kampung Nibang, Khamis lalu.
Manakala bapanya yang cuba membantu tetapi gagal, sebelum berjaya berenang ke tebing dan selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Noor Jalil Maslah berkata, SAR hari ketiga bermula jam 9 pagi dengan kaedah pencarian ‘follow the stream’ menggunakan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sejauh 1.5 kilometer di sungai Kampung Nibang.
“Pasukan turut membuat pencarian di tebing sungai sejauh satu kilometer dari lokasi penemuan mangsa pertama. Namun masih tiada petunjuk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, operasi SAR dihentikan jam 3 petang tadi dan akan disambung esok.
Operasi SAR disertai sembilan anggota bomba bersama dua jentera, selain dibantu polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
© New Straits Times Press (M) Bhd