am@hmetro.com.my
Shah Alam: Suami isteri direman bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kanak-kanak lelaki berusia dua tahun cedera dipercayai didera, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, perintah reman terhadap wanita yang juga pengasuh kanak-kanak berusia 37 tahun dan suaminya, 40, bekerja sebagai jurujual selama tiga hari hingga Rabu.
Katanya, sebelum itu polis menerima laporan daripada ibu mangsa berhubung kejadian pada 12 tengah malam Jumaat.
“Siasatan awal, kanak-kanak lelaki itu dihantar ke rumah pasangan berkenaan di sebuah pangsapuri di Seksyen 16, di sini pada 10 pagi Khamis dan pada 9.30 malam, mangsa dihantar pulang oleh pengasuhnya (suspek) dalam keadaan lebam di muka.
“Ibu mangsa bertanya kepada pengasuh punca anaknya lebam, yang awalnya dimaklum akibat anaknya bergaduh dengan mangsa.
“Namun ibu kanak-kanak itu tidak mempercayai penjelasan dan membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan tisu lembut di muka disyaki akibat diserang.
Menurutnya, susulan itu, pasangan terbabit ditahan semalam dan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Khamsia Hung Mei Shuang di talian 016-8119560,” katanya.
Terdahulu, kejadian itu turut tular di media sosial dan menerima lebih 3,600 perkongsian.
© New Straits Times Press (M) Bhd