
Suspek cedera di kaki selepas kejadian berbalas tembakan dengan polis. Foto: X/@sirajnoorani
GHAZIABAD – Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun didakwa dirogol dan dipukul hingga mati menggunakan batu oleh seorang jiran selepas diumpan dengan gula-gula dalam kejadian di Nandgram.
Mayat mangsa ditemukan di kawasan semak kira-kira 500 meter dari rumahnya.
Menurut polis, suspek dikenali sebagai Gaurav Prajapati, 24, ditahan kira-kira jam 3 pagi selepas satu pertembungan dengan pihak berkuasa.
Penolong Pesuruhjaya Polis Nandgram, Ziauddin Ahmed berkata, pihaknya turut merampas sepucuk pistol buatan sendiri, dua kelongsong peluru terpakai serta satu peluru hidup daripada suspek.
“Kejadian terbongkar selepas polis menerima maklumat kira-kira jam 9 malam Isnin mengenai seorang kanak-kanak yang ditemui dalam keadaan cedera di kawasan lapang.
“Mangsa kemudian dibawa ke hospital oleh ibu bapanya, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dialami,” katanya yang dilaporkan NDTV.
Menurutnya, keluarga mangsa memaklumkan bahawa suspek yang juga jiran telah membawa kanak-kanak itu keluar pada petang hari sama dengan alasan untuk membelikan gula-gula sebelum mangsa tidak pulang.
Susulan itu, polis menahan suspek dan hasil soal siasat mendapati lelaki berkenaan mengaku melakukan perbuatan tersebut.
Dalam operasi susulan, suspek didakwa melepaskan tembakan ke arah polis menggunakan senjata api yang disembunyikan di kawasan semak.
Polis kemudian bertindak balas untuk mempertahankan diri, menyebabkan suspek mengalami kecederaan tembakan pada kedua-dua kaki sebelum dihantar ke hospital.
Tambah beliau, laporan bedah siasat masih belum diperoleh, namun doktor menemui beberapa kesan tembakan pelet yang dipercayai daripada senjata api jenis 12 bore.
Kes disiasat di bawah Seksyen 103(1) Kanun Bharatiya Nyaya Sanhita kerana membunuh serta Seksyen 238(A) kerana memusnahkan bukti dan memberi maklumat palsu.
“Pertuduhan rogol serta peruntukan di bawah Akta POCSO akan ditambah jika unsur serangan seksual disahkan,” katanya.
Ringkasan AI
- Kanak-kanak perempuan empat tahun dirogol dan dibunuh dengan batu oleh jiran di Nandgram
- Mayat ditemukan di kawasan semak 500 meter dari rumah
- Gaurav Prajapati, 24, ditahan selepas pertembungan dengan polis
- Suspek mengaku melakukan jenayah dan merampas pistol buatan sendiri semasa ditahan
- Kes disiasat dibawah undang-undang pembunuhan, pemusnahan bukti dan rogol jika serangan seksual disahkan


