Kanak-kanak Gaza mati kelaparan

Kanak-kanak Gaza mati kelaparan

GENTING GAZA – Kebuluran bukan lagi satu ancaman yang bakal berlaku di Genting Gaza, sebaliknya kini menjadi realiti yang meragut nyawa setiap hari, menurut agensi kemanusiaan antarabangsa.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada 29 Julai lalu menyatakan bahawa situasi ini bukan lagi satu amaran, sebaliknya satu realiti yang sedang berlaku di depan mata.

Berdasarkan laporan terkini dari Integrated Food Security Phase Classification (IPC), dua daripada tiga penanda aras kebuluran adalah kekurangan makanan melampau dan kadar malnutrisi akut dalam kalangan kanak-kanak.


Seorang kanak-kanak Palestin membawa sup kacang merah yang diagih sukarelawan di Rafah, selatan Genting Gaza. AFP

Seorang kanak-kanak Palestin membawa sup kacang merah yang diagih sukarelawan di Rafah, selatan Genting Gaza. AFP

Situasi ini telah dicapai di kebanyakan kawasan di Gaza, terutamanya di Gaza City.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan lebih 40 peratus wanita mengandung dan menyusukan anak di Gaza mengalami kekurangan zat serius, manakala hampir satu daripada lima kanak-kanak bawah lima tahun di Gaza City mengalami malnutrisi akut, satu peningkatan tiga kali ganda berbanding bulan Jun.

Bagaimanapun, IPC tidak dapat mengesahkan penanda aras ketiga, iaitu kadar kematian berlebihan, disebabkan kesukaran mendapatkan data di lapangan berikutan runtuhnya sistem kesihatan di Gaza.

Pengarah CARE Palestin, Jolien Veldwijk menegaskan kebuluran di Gaza berpunca daripada sekatan berterusan yang dikenakan oleh Israel serta kegagalan pemimpin dunia bertindak segera.

Sejak Mac 2025, kemasukan bantuan dan barangan dagangan ke Gaza disekat hampir sepenuhnya oleh Israel dan walaupun terdapat sedikit kelonggaran selepas tekanan antarabangsa.

Namun jumlah bantuan yang dibenarkan masih jauh daripada keperluan lebih dua juta penduduk.

Ketua Pengarah Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), Qu Dongyu berkata orang ramai kebuluran bukan kerana tiada makanan, tetapi kerana akses disekat dan sistem pertanian tempatan telah lumpuh.

Bantuan yang berjaya memasuki Gaza pula sering tertangguh, diserang atau dirampas, menyebabkan ribuan terpaksa beratur panjang dengan risiko dipijak, ditembak atau pulang dengan tangan kosong.

WHO mengesahkan 74 kematian akibat kebuluran di Gaza sejak awal tahun ini, dengan 63 daripadanya berlaku pada Julai termasuk 25 kanak-kanak.

Penduduk Palestin memindahkan beg bantuan makanan selepas menyerbu gudang Program Makanan Sedunia (WFP) di Deir el-Balah, Gaza Tengah. -AFP

Penduduk Palestin memindahkan beg bantuan makanan selepas menyerbu gudang Program Makanan Sedunia (WFP) di Deir el-Balah, Gaza Tengah. -AFP

Seorang petugas bantuan yang memberi sokongan psikososial berkata ada kanak-kanak memberitahu ibu bapa mereka mahu ke syurga kerana di sana ada makanan.

Di klinik CARE di Deir al-Balah, kadar pesakit mengalami malnutrisi meningkat dari 19 peratus kepada 32 peratus dalam masa beberapa bulan, manakala bekalan makanan terapeutik dan suplemen pemakanan kini kehabisan sepenuhnya.

Penolong Pengarah CARE Palestin, Beckie Ryan berkata sesetengah ibu bapa terpaksa buat keputusan sukar sama ada mahu beli makanan untuk bayi atau untuk anak berusia lima tahun.

CARE dan agensi bantuan lain menegaskan hanya gencatan senjata sepenuhnya serta akses tanpa halangan kepada bantuan boleh menghentikan krisis ini.

Sejak sekatan penuh pada 2 Mac, CARE gagal menghantar sebarang bekalan pra-pos bernilai AS$1.5 juta (RM7 juta) ke Gaza termasuk makanan, ubat-ubatan dan kit penjagaan bayi yang kini tersekat di Mesir, Tebing Barat dan Jordan.

Dalam satu kenyataan, CARE berkata penyelesaian separuh jalan seperti henti kemanusiaan atau serahan udara tidak mencukupi, dan apa yang diperlukan ialah pembukaan sepenuhnya semua lintasan sempadan serta pelan bantuan kemanusiaan yang diselaras oleh PBB. – Agensi

Scroll to Top