Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan bahawa kanak-kanak yang tinggal di rumah kebajikan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) telah didoktrin sebagai ‘anak yatim’.
Menurut Razarudin, siasatan polis mendapati kanak-kanak, terutama yang berusia bawah 12 tahun, tidak mengenali ibu bapa mereka walaupun ibu bapa mereka adalah ahli GISBH.
Ada juga ibu bapa kanak-kanak yang kita selamatkan turut ditahan polis. Mereka tidak mahu mengaku itu anak mereka. GISBH juga memaparkan di laman web mereka untuk sumbangan ‘anak yatim’ walhal itu anak ahli mereka. Ini satu penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- Katanya dalam sidang media di Pulapol.
Kalau kita tanya nama anak pun, mungkin mereka tak tahu nama.- Jelasnya.
Tambah Razarudin, siasatan turut mendapati ada ahli GISBH yang berpoligami sehingga mempunyai 34 anak, tetapi hanya dua anak tinggal bersama mereka.




