Kanak-kanak lelaki disahkan maut terjatuh dari tingkat 8

Kanak-kanak lelaki disahkan maut terjatuh dari tingkat 8

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis mengesahkan seorang kanak-kanak lelaki yang terjatuh dari tingkat 8 di Flat Sri Perantau, Pelabuhan Klang dekat sini pagi tadi meninggal dunia akibat jatuh dari tempat tinggi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8 pagi daripada orang awam yang memaklumkan seorang kanak-kanak jatuh dari bangunan di kawasan itu.

“Hasil siasatan mendapati, kejadian itu berlaku di Blok J, Flat Sri Perantau, Pelabuhan Klang yang mana mangsa adalah seorang kanak-kanak lelaki berumur 4 tahun.

“Pada masa kejadian, bapa mangsa berada di tempat kerja manakala ibu mangsa keluar dari rumah untuk menghantar anak kedua ke rumah pengasuh.

“Siasatan mendapati, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkap rumahnya di tingkat 8 flat terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamalariffin berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapatkan rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia semasa rawatan sekitar jam 9 pagi tadi.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 atas kesalahan pengabaian kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak melebihi RM50,000,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top