am@hmetro.com.my
Kepala Batas: Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Kota Aur, Kuala Muda, Penaga, di sini, malam tadi.
Mangsa, Muhammad Aidil Firash Khairul Azman, 11, disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada 7.24 malam.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda bergegas ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi, namun disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, seramai lapan anggota termasuk penyelia terbabit dalam operasi berkenaan dengan pembabitan pihak polis dan KKM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




