am@hmetro.com.my
Gurun: Kanak-kanak lelaki 12 tahun maut, manakala seorang remaja terselamat dalam kemalangan membabitkan motosikal dengan dua lori di Masjid Batu 3, Jalan Jeniang, di sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 1.36 tengah hari, dengan seorang mangsa dilapor berada di bawah lori.
Katanya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak ke lokasi bersama dua jentera termasuk unit perkhidmatan kecemasan (EMRS).
“Kemalangan membabitkan lori muatan bahan tar dengan motosikal, selain terdapat sebuah treler diletakkan di bahu jalan berhampiran lokasi kemalangan.
“Mangsa berusia 12 tahun itu dipercayai berada di bawah lori dan cedera parah di badan, manakala remaja lelaki 14 tahun pula terselamat.
“Mangsa meninggal dunia selepas disahkan oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, ” katanya.
Anggota bomba kemudian menjalankan kerja pembersihan di lokasi kejadian bagi memastikan kawasan itu berada dalam keadaan selamat dan terkawal dan operasi tamat sepenuhnya 3.59 petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd
