am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia dalam kebakaran lori tanpa muatan dekat Iskandar Halal Park, Cahaya Baru, Pasir Gudang di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, bapa kepada kanak-kanak berusia empat tahun itu yang juga pemandu lori terselamat selepas berjaya keluar daripada lori.
Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba II (TPgB II) Firdaus Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran lori itu pada 10.46 pagi sebelum enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar berlaku kebakaran lori tanpa muatan yang terbakar kira-kira 60 peratus di bahagian kepala lori.
“Tindakan awal dari orang awam memadam api menggunakan enam alat pemadam api jenis debu kering dan satu jengkaut membawa tanah.
“Ketika kejadian, terdapat seorang mangsa kanak-kanak berada di dalam lori, manakala pemandu lori seorang lelaki berjaya menyelamatkan diri,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, api padam sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan 1.30 tengah hari.
© New Straits Times Press (M) Bhd




