Kanak-kanak maut, sepupu parah dirempuh ketika melintas

Kanak-kanak maut, sepupu parah dirempuh ketika melintas

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Kanak-kanak perempuan maut manakala adik sepupunya parah selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di Jalan Tun Fuad Stephen, berhampiran Teluk Likas, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, Nur Syahirah Syakillah Anuar, 12, bersama adik sepupu perempuannya berusia tujuh tahun dalam perjalanan hendak membeli makanan di kawasan Anjung Selera, Likas, yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka.

Difahamkan, Nur Syahirah Syakillah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Likas, tinggal bersama keluarganya di Taman Kurnia Jaya, Likas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun.

“Kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Sepanggar menuju ke Likas, melalui lorong kanan jalan sebelum melanggar dua kanak-kanak perempuan yang dipercayai melintas secara tiba-tiba dari arah kiri ke kanan jalan.

“Akibat perlanggaran itu, seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kini sedang menerima rawatan di Zon Kecemasan Hospital Likas dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk proses bedah siasat yang dijadualkan pada hari yang sama.

“Pemandu tidak mengalami kecederaan dan tidak disyaki di bawah pengaruh alkohol atau dadah. Namun sampel darah telah diambil untuk analisis toksikologi di Jabatan Kimia.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Kasim berkata polis menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil menyalurkan maklumat atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor, Inspektor Brymenedren Godon di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi membantu siasatan.

“Polis turut menasihatkan ibu bapa serta penjaga supaya sentiasa memastikan keselamatan anak-anak ketika melintas jalan, terutama di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan lintasan selamat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top