Kanak-kanak maut tercampak, tayar MPV meletup di lebuh raya

Kanak-kanak maut tercampak, tayar MPV meletup di lebuh raya

Jasin: Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas tercampak keluar dari kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah kereta lain dalam kemalangan di KM 189.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, siasatan awal mendapati nahas pada kira-kira 8 pagi itu berlaku apabila tayar MPV jenis Toyota Vellfire yang dinaiki Iris Sofea Mohamed Siddiq Khan, 12, meletup lalu hilang kawalan dan melanggar besi pembahagi jalan di bahagian tengah.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak keluar dari kereta yang dinaiki ke laluan bertentangan sebelum dilanggar kereta Honda City.

“MPV tersebut yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru dipandu bapa kanak-kanak itu, Mohamed Siddiq Khan, 36, bersama tujuh lagi ahli keluarga termasuk ibu, datuk, nenek, dan empat lagi adik-beradiknya berusia antara empat hingga 11 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa yang merupakan anak sulung daripada lima adik-beradik itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan mayatnya dibawa ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat.

Mohamad Rusli berkata, tujuh ahli keluarga kanak-kanak itu mengalami pelbagai kecederaan dan kesemua mereka dibawa ke Hospital Jasin dan Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala bapa dan pemandu Honda City yang merupakan wanita berusia 30 tahun tidak cedera.

“Iris Sofea bersama keluarganya dalam perjalanan ke Singapura untuk menziarahi saudara yang sakit di hospital dan sepupu baru bersalin,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohd Izzuwan Jafri di talian 019-724 2479 atau kaunter aduan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin di talian 06-529 2222 (samb 260).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top