Kanak-kanak OKU dilarikan, lelaki miliki 18 rekod jenayah ditahan

Kanak-kanak OKU dilarikan, lelaki miliki 18 rekod jenayah ditahan

am@hmetro.com.my

Kepala Batas: Seorang kanak-kanak perempuan kurang upaya (OKU) yang dilarikan seorang lelaki dalam kejadian di Penaga, di sini, semalam berjaya diselamatkan polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa berusia 12 tahun dikatakan dibawa ibunya ke bengkel kenderaan milik bapanya untuk menghantar minyak hitam kenderaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, ibu mangsa kemudian meninggalkannya di dalam kereta dalam keadaan enjin kenderaan masih hidup.

Bagaimanapun, katanya, ketika hendak kembali ke kenderaannya, ibu mangsa mendapati kereta itu hilang sebelum dia cuba mencari bersama suami dan rakannya di kawasan sekitar, namun gagal.

“Ibu mangsa kemudian memeriksa aplikasi penjejak keluarga, Life360 untuk mengesan kedudukan telefon bimbitnya yang ada bersama anaknya itu, sebelum mendapati lokasinya di Bagan Lalang, Butterworth (kira-kira 10 kilometer dari lokasi dilarikan).

“Susulan itu, pasukan polis pergi ke lokasi sebelum berjaya menahan suspek berusia 60-an di kawasan itu. Semakan mendapati suspek memiliki 18 rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, mangsa yang OKU bisu berjaya diselamatkan dan berada dalam keadaan baik.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Anuar berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu diminta dapat menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Haslinda Rahmat di talian 04-576 2222 (sambungan 2275) bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A/363 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top