Kanak-kanak OKU maut dihempap blok konkrit: Bapa rayu jangan salahkan isteri

Kanak-kanak OKU maut dihempap blok konkrit: Bapa rayu jangan salahkan isteri

am@hmetro.com.my

Pasir Puteh: Bapa kepada kanak-kanak 12 tahun yang maut dihempap blok konkrit meminta orang ramai tidak menyalahkan isterinya atau keluarga berhubung kejadian menimpa anak sulung, Mohammad Yusof Nor Ismail.

Nor Ismail Nasir, 52, berkata, anaknya adalah Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran selain hiperaktif.

Katanya, ketika kejadian dia berada di Pasir Mas sedang bekerja memasang cermin sebelum menerima panggilan daripada isterinya, Nurul Anis Abdul Rahman, 36, memaklumkan anak mereka terjatuh dan dia menyuruh isteri membawa anak ke hospital.

“Tiba di rumah, saya lihat ada polis. Anak saya autisme dan buas, saya tak boleh cakap apa, saya reda dengan kejadian,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Gedombak, di sini, hari ini.

Nor Ismail berkata, sebelum ini anaknya tidak pernah bermain di kawasan konkrit yang seberat lebih 200 kilogram, namun mengakui anaknya agak sukar dikawal kerana terlalu aktif namun isteri dan keluarga menjaganya dengan baik.

Sementara itu, Nurul Anis berkata, ketika kejadian, dia berada di dalam rumah bersama tiga anak, Muhammad Sharif, 8, Muhammad Hadif, 6, dan Muhammad Ammar, 2, manakala Mohammad Yusof dan adiknya, Siti Nur Amaliana, 10, bersama bapa saudara mereka, Mohd Yunus Nasir, 12, bermain di halaman rumah.

Katanya, Siti Nur Amaliana kemudian pulang ke rumah memaklumkan dua kanak-kanak itu jatuh ke dalam pasir dan ditindih batu.

“Saya ke tempat kejadian dan lihat anak terlangkup dalam pasir, saya panggil lima hingga enam orang kampung untuk bantu alihkan konkrit itu dan saya turun dalam pasir untuk ambil anak.

“Selepas berjaya bawa naik, anak masih bernyawa dan sempat beritahu ‘Mat dah nak pergi, tak dapat pergi sekolah dah.’ Arwah juga sempat pesan kalau dia tak ada, duduk rumah Moksu Yah (Nor Aziah Nasir, 48) di Kampung Seri Gedombak,” katanya sayu ketika menceritakan detik menyayat hati itu.

Jenazah kanak-kanak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Wakaf Berangan jam 1.20 pagi sebaik selepas urusan bedah siasat di Hospital Tengku Anis (HTA).

Seorang lagi mangsa, Mohd Yunus kini mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.

Menurut keluarga, mangsa yang maut dan bapa saudaranya yang dihempap konkrit, keduanya adalah kanak-kanak OKU pembelajaran dan mengikuti kelas khas murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Rhu.

Semalam media melaporkan, kanak-kanak malang itu meninggal dunia selepas dihempap blok konkrit ketika bermain korek pasir di hadapan rumahnya di Kampung Telaga Papan, Semerak jam 2.30 petang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top