BAITULMAQDIS: Seorang kanak-kanak Palestin yang cedera akibat ditembak tentera Israel di Tebing Barat semalam, meninggal dunia hari ini.
Mohamad al-Alami, 12, meninggal dunia di bandar Beit Omar yang terletak di barat laut Hebron selepas dia ditembak di bahagian dada ketika dalam perjalanan menaiki kereta dengan ayahnya, kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan.
Ia adalah kematian kedua membabitkan remaja Palestin yang cedera akibat tembakan dilepaskan Israel dalam tempoh beberapa hari.
Sabtu lalu, seorang remaja Palestin, Mohammed Munir al-Tamimi, 17, maut kerana akibat kecederaan sehari selepas keganasan meletus di kampung Beita, kata Kementerian Kesihatan.
Ratusan rakyat Palestin berhimpun di Beita pada tengah hari Jumaat lalu, yang menjadi kawasan panas beberapa bulan kebelakangan ini untuk membantah penempatan haram di Eviatar yang terletak berhampiran.
Pertempuran antara tentera Israel dan rakyat Palestin mengakibatkan 320 orang Palestin cedera, menurut Persatuan Bulan Sabit Merah.
Pada lewat Selasa lalu, seorang rakyat Palestin berumur 41 tahun mati ditembak berhampiran Beita, maklum Kementerian Kesihatan Palestin.
Semua penempatan Yahudi di Tebing Barat dianggap haram oleh kebanyakan masyarakat antarabangsa. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




