am@hmetro.com.my
Kota Belud: Kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai Kampung Piasau, di sini, hari ini.
Ketika kejadian mangsa dikatakan sedang mandi bersama beberapa rakannya, sebelum tiba-tiba dihanyutkan arus deras sungai berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.41 petang.
Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama tiga jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mengambil maklumat dan difahamkan mangsa mandi di sungai berkenaan sebelum dikatakan lemas.
“Pasukan operasi terus menjalankan operasi di sekitar sungai berkenaan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, sehingga kini mangsa masih belum ditemukan dan operasi pencarian terus dijalankan.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




