ROMPIN: Tiga individu termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut manakala empat lagi cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung satu sama lain dalam kejadian di Kilometer 142, Jalan Kuantan-Seremban berhampiran Kampung Asli Bukit Serok, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, sebuah Perodua Myvi dinaiki enam individu dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke lorong bertentangan lalu bertembung dengan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax yang datang dari arah hadapan.
Ketua Polis daerah, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, akibat pelanggaran itu, pemandu Myvi, Aida Asmalia Abu Samah, 46, meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua penumpang, Siti Auni Syafiqa Sheikh Ali, 18, dan Chempaka Alara Azizi, 3, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Muadzam Shah.
“Tiga lagi penumpang Myvi iaitu seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, seorang remaja perempuan berusia 13 tahun serta seorang wanita berusia 32 tahun cedera parah.
“Sementara pemandu Isuzu Dmax berusia 32 tahun turut patah kaki kanan dan kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Sharif Shai berkata, siasatan awal mendapati kereta Myvi berkenaan dalam perjalanan dari arah Seremban ke Kuantan selepas menghadiri kenduri kahwin di Alor Gajah, Melaka, dipercayai gagal dikawal lalu terbabas ke laluan bertentangan.
Menurutnya, semua pemandu dan penumpang kereta Myvi terbabit masing-masing mempunyai talian keluarga dan juga kenalan.
“Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke HTAA untuk proses bedah siasat dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Tambahnya, polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai berdekatan. – UTUSAN