Kuching: Kanak-kanak perempuan warganegara Indonesia berusia enam tahun meninggal dunia akibat penyakit anjing gila atau rabies di Bintulu, Sarawak.
Kematian itu disahkan Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak, Dr Veronica Lugah, menurut Borneo Post.
Katanya, mangsa yang tinggal bersama keluarga di kawasan ladang mula menunjukkan beberapa simptom sejak 31 Julai lalu, antaranya sakit kepala, demam, sakit leher dan hilang selera makan.
“Pada 3 Ogos lalu kanak-kanak itu dimasukkan ke Hospital Bintulu, di mana dia mengalami halusinasi, hidrofobia, aerofobia dan air liur berlebihan.
“Dia disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya. Hasil siasatan mendapati mangsa telah digigit anjing liar pada 16 Julai di luar rumahnya.
“Anjing itu kemudian berjaya ditangkap dan disahkan positif rabies oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak,” katanya.
Mengenai jumlah kumulatif kes rabies menjangkiti manusia di negeri itu, Dr Veronica berkata, ia kini mencecah 85 kes sejak wabak diisytihar pada Julai 2017, dengan 78 kematian atau bersamaan 91.7 peratus.
Katanya, tahun ini sahaja dua kes rabies menjangkiti manusia, namun lebih rendah berbanding lima kes dalam tempoh sama tahun lalu.
“Jabatan Kesihatan Sarawak ingin mengingatkan orang ramai bahawa Sarawak masih belum bebas daripada wabak rabies. Penyakit ini boleh merebak melalui gigitan atau cakaran serta melalui pendedahan kepada air liur mamalia yang dijangkiti rabies, terutamanya anjing dan kucing,” jelasnya.
Dr Veronica turut menasihatkan orang ramai supaya mengelak bersentuhan dengan haiwan liar dan sekiranya terkena gigitan atau cakaran, disarankan untuk segera membasuh luka dengan sabun bersama air mengalir sekurang-sekurangnya selama 15 minit sebelum mendapatkan rawatan di klinik.
Beliau memberi amaran agar tidak menyentuh bangkai haiwan tanpa mengetahui punca kematian sambil menekankan kepentingan vaksinasi anti-rabies tahunan untuk anjing dan kucing peliharaan.
“Ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak supaya menjauhi haiwan yang berpotensi membawa rabies. Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan langkah pencegahan dan kawalan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd