Kandungan Masuk Trimester Kedua, Nabila Razali Mengidam Makan Benda Pelik

Kandungan Masuk Trimester Kedua, Nabila Razali Mengidam Makan Benda Pelik

Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali mengaku dia tidak mengalami sebarang alahan pelik sepanjang tempoh kehamilannya.

Katanya, dia masih menunggu untuk merasai pengalaman mengidam benda-benda pelik walaupun setakat ini dia hanya mahu menikmati makanan seperti burger dan kek.

“Saya pun teringin juga nak mengidam pelik-pelik macam bau tayar ke, saya pun menanti perkara-perkara itu.

“Setakat ini saya mengidam benda mudah sahaja. Tidak mengalami rasa mengidam yang pelik-pelik. Cuma itulah saya teringin nak makan burger Ramly dan kek,” katanya kepada pemberita.

Mengakui masih aktif walaupun usia kandungan sudah memasuki trimester kedua, Nabila atau nama penuhnya, Nur Nabila Mohd Razali, 32, bersyukur dan berharap agar kehamilannya ini dipermudahkan.

Malah, dia memaklumkan bakal melancarkan lagu baharunya tidak lama lagi.

“Alhamdulillah perjalanan kehamilan pertama semuanya dipermudahkan. Waktu kandungan dalam trimester pertama saya masih lagi berlakon dalam set drama Bawah Payung Awan.

“Dan masih mampu mempromosikan lagu Tangis untuk OST Bawah Payung Awan dan persembahan pentas yang lain.

“Tak lama lagi saya juga akan melancarkan lagu dalam satu projek baharu. Saya agak teruja dengan projek ini dan tidak sabar nak berkongsi dengan peminat,” jelasnya.

Ditanya persediaan menyambut kelahiran cahaya mata pertama, pelantun lagu Peluang Kedua itu berkongsi dia masih belum sempat untuk membuat persiapan sepenuhnya dan akan membeli keperluan bayi itu secara atas talian (online).

“Jujur tak banyak persediaan yang saya buat memandangkan masih lagi aktif bekerja.

“Cukuplah sekadar benda-benda yang penting didahulukan dulu. Kalau beli barangan bayi seperti baju itu semua saya belum mula membeli kerana masih lagi sibuk bekerja,” jelasnya.

Sumber: mStar

Scroll to Top