Tasek Gelugor: Penurunan kandungan oksigen terlarut secara mendadak di Sungai Kulim berdekatan Kampung Tun Sardon, Ara Kuda, di sini mencetuskan fenomena ikan mabuk dan mati sehingga menggemparkan penduduk setempat.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang menerima aduan daripada penduduk kampung yang mendakwa melihat ikan terapung di dalam sungai itu pada 5.45 petang, Jumaat lalu.
Bertindak melalui aduan itu, JAS melakukan siasatan di sungai berkenaan sehingga ke sempadan Kulim, Kedah bagi mengetahui punca kejadian berkenaan.
Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, siasatan dijalankan dengan mengambil sampel air di tiga lokasi berdekatan selain membuat pemantauan melalui dron di sekitar sungai berkenaan.
“Siasatan seterusnya dilakukan di bahagian hulu hingga ke sempadan Kulim sebelum turut menemui ikan mati terapung, justeru siasatan turut membabitkan JAS Cawangan Kulim.
“Siasatan JAS Cawangan Kulim mendapati, tiada punca industri yang berpotensi mencemar sungai ini dan kita mendapati kandungan oksigen terlarut di sungai ini turun mendadak iaitu selari dengan peningkatan kandungan pepejal terampai,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, peningkatan pepejal terampai yang mungkin disebabkan hujan lebat di hulu sungai meningkatkan air larian permukaan (kelodak) di kawasan hulu.
“Ia berkemungkinan memberi impak kepada spesis ikan yang sensitif sekali gus menjadi punca ikan mabuk dan mati yang dilaporkan baru-baru ini,” katanya.
Dalam pada itu, Sharifah Zakiah berkata, JAS negeri akan meneruskan kerjasama dengan JAS Kedah dalam mengawal pencemaran merentasi sempadan.
Menurutnya, kejadian ikan mabuk dan mati di Sungai Kulim itu juga akan dimaklumkan kepada pihak Lembaga Sumber Air Kedah untuk tindakan sewajarnya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pencemaran alam sekitar seperti yang tertakluk di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sebarang maklumat berhubung kes pencemaran boleh menghubungi JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui e-aduan di [email protected].