Kane atasi rekod Messi, Ronaldo

Kane atasi rekod Messi, Ronaldo

London: Harry Kane terus membuktikan mengapa dia antara penyerang terbaik dunia.

Ketika kemenangan terbaru Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara, penyerang England itu sekali lagi menemui sentuhan jaringan dan dalam proses itu, dia mengatasi Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo dalam satu rekod statistik yang mengagumkan.

Bayern menang 4-0 ke atas Club Brugge awal pagi tadi, keputusan yang meletakkan mereka di tangga teratas kumpulan. Kane menjaringkan gol kedua pasukannya sekali gus satu jaringan yang turut menobatkan namanya dalam buku rekod sejarah bola sepak.

Dengan jaringan tersebut, Kane kini menjaringkan 20 gol hanya dalam 12 perlawanan untuk Bayern Munich dalam semua kejohanan musim ini, mengatasi kadar jaringan yang pernah dicapai oleh Messi dan Ronaldo ketika zaman kemuncak mereka.

Messi mencapai 20 gol dalam 17 perlawanan sebanyak tiga kali bersama Barcelona, manakala Ronaldo memerlukan 13 perlawanan untuk melakukannya semasa musim 2013–14 bersama Real Madrid.

Bekas bintang Tottenham itu kini mendahului carta penjaring dalam Bundesliga dan Liga Juara-Juara, mengukuhkan statusnya sebagai antara penyerang elit dunia. Gol terbaru itu juga menjadikan jumlah jaringan keseluruhannya dalam kejohanan utama Eropah kepada 45 gol, meletakkannya di tangga ke-18 sepanjang zaman mengatasi Antoine Griezmann dan Didier Drogba.

Itu bukan satu-satunya pencapaian luar biasa Kane musim ini. Awal bulan ini, kapten England itu menjadi pemain terpantas dalam lima liga utama Eropah – Jerman, Perancis, Sepanyol, Itali, dan England untuk menjaringkan 100 gol bagi satu kelab, hanya dalam 104 perlawanan.

Dia turut memecahkan rekod sebelum ini yang dipegang oleh Cristiano Ronaldo dan Erling Haaland, yang masing-masing memerlukan 105 perlawanan untuk mencapai angka tersebut.

Kane kini turut memburu satu lagi rekod menakjubkan yang hanya pernah dicapai oleh dua pemain dalam sejarah. Penyerang Bayern itu menjaringkan gol dalam lapan perlawanan berturut-turut, semakin hampir kepada rekod 12 perlawanan berturut-turut yang dikongsi oleh Ronaldo dan Haaland.

Haaland yang kini beraksi untuk Manchester City, berpeluang menambah rekodnya sendiri pada Ahad ini apabila pasukannya menentang Aston Villa.

Sementara itu, Kylian Mbappé hampir menyertai kumpulan elit tersebut selepas menjaringkan gol dalam 11 perlawanan berturut-turut, namun rekod itu terhenti selepas dia gagal menjaringkan gol ketika menewaskan Juventus 1-0 dalam saingan Liga Juara-Juara baru-baru ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top