London: Pengendali sementara England, Lee Carsley mendedahkan Harry Kane tidak akan berada dalam kesebelasan utama bagi aksi Liga Negara-Negara menentang Greece, awal pagi esok berikutan kaptennya masih dalam proses pemulihan akibat cedera.
Kane cedera selepas berlaga ketika Bayern Munich seri 3-3 menentang Eintracht Frankfurt, hujung minggu lalu.
Penyerang berusia 31 tahun itu yang juga pemegang rekod penjaring gol terbanyak England belum berlatih dengan skuad sejak hadir ke kem latihan, Isnin lalu.
Kane hanya menjalani latihan secara individu pada Selasa serta semalam dan Carsley menegaskan beliau tidak mahu mengambil risiko mengenai kecergasannya bagi aksi Kumpulan B2 di Wembley itu.
“Harry masih cedera akibat perlanggaran kecil. Kami tidak akan mengambil peluang daripadanya,” kata Carsley kepada wartawan.
Ditanya sama ada Kane akan berada di bangku simpanan, Carsley berkata: “Kami tidak menyisihkannya daripada perlawanan itu, tetapi dia tidak akan bermula dalam kesebelasan utama.
“Diharapkan dia mampu bersaing untuk perlawanan dengan Finland selepas ini, tetapi masa akan menentukannya. Saya fikir, ia bukan sesuatu yang perlu kami putuskan dengan tergesa-gesa.”
Berikutan ketiadaan Kane, pemain pertahanan Manchester City, John Stones akan mengetuai England buat kali pertama, awal pagi esok.
Menjelang penampilan ke-82 untuk England, Stones mengakui ia umpama impian menjadi kenyataan apabila mengetuai skuad kebangsaan di Wembley.
“Ia sudah tentu segala-galanya yang saya boleh impikan sejak kecil,” kata pemain berusia 30 tahun itu.
“Buat keluarga saya untuk melihat saya keluar sebagai kapten England, ia satu detik istimewa dan saya sangat berterima kasih kepada Lee.
“Berjalan keluar dengan lilitan di lengan kapten adalah satu penghormatan besar dan satu detik yang akan saya ingat selama-lamanya.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




