Kane gagal penalti, Bayern tetap menang

Kane gagal penalti, Bayern tetap menang

Wolfsburg: Bayern Munich meneruskan kemenangan dalam Bundesliga selepas menewaskan Wolfsburg 1-0, namun aksi hambar mereka tetap menimbulkan persoalan susulan penyingkiran di separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) minggu lalu.

Wira Bayern dalam aksi di Allianz Arena itu adalah Michael Olise yang meledak gol kemenangan menerusi rembatan lencong menarik pada minit ke-56.

Namun, penyerang utama Harry Kane mencuri perhatian apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-36 selepas tergelincir sebelum rembatannya tersasar.

Ia adalah kegagalan pertama Kane dalam sepakan penalti Bundesliga selepas berjaya menyempurnakan 24 percubaan terdahulu.

Rakaman ulang tayang turut menunjukkan pemain Wolfsburg memijak kawasan penalti beberapa kali sebelum Kane mengambil sepakan berkenaan.

Pengendali Bayern, Vincent Kompany mengakui situasi itu mungkin akan ditangani secara berbeza jika ia berlaku ketika aksi menentang Paris Saint Germain (PSG) di separuh akhir UCL.

“Mungkin jika perkara itu berlaku pada Khamis lalu, kami akan mempunyai dua atau tiga pemain menjaga kawasan penalti itu.

“Saya tidak suka pemain Wolfsburg melakukan perkara itu tetapi saya faham mentaliti mereka.

“Perkara paling penting ialah kami berdepan pasukan yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menang. Kami tidak bermula terlalu buruk tetapi cepat hilang momentum.

“Wolfsburg menjadi semakin berbahaya. Saya hormati cara pasukan saya bangkit dan bermain jauh lebih baik pada babak kedua,” katanya.

Bayern yang tewas dengan agregat 6-5 kepada PSG di separuh akhir UCL kini mengumpul 86 mata dan masih berpeluang memburu gelaran berganda domestik apabila bakal bertemu Stuttgart dalam final Piala Jerman 24 Mei ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top