Leipzig: Bayern Munich terus mempamerkan dominasi luar biasa dalam Bundesliga apabila bangkit daripada ketinggalan untuk membelasah RB Leipzig 5-1, dengan Harry Kane meledak gol ke-21 liga musim ini, awal pagi tadi.
Kemenangan itu mengembalikan kelebihan Bayern kepada 11 mata di puncak liga mengatasi pencabar terdekat, Borussia Dortmund, selain meneruskan kempen memecah rekod.
Bayern kekal tanpa kalah dan hanya kehilangan empat mata setakat ini, mengumpul 50 mata selepas 18 perlawanan menyamai rekod liga. Jumlah 71 gol yang dijaringkan Bayern juga menjadi rekod baharu pada tahap ini musim Bundesliga.
Leipzig mendahului menerusi jaringan Romulo pada separuh masa pertama, namun Bayern mengamuk selepas rehat dengan Serge Gnabry, Kane, Jonathan Tah, Aleksandar Pavlovic dan Michael Olise masing-masing menemui sasaran.
Ketua jurulatih Bayern, Vincent Kompany, mengakui pasukannya bergelut sebelum rehat.
“Leipzig dua kali lebih baik daripada kami pada separuh masa pertama, tetapi pada separuh masa kedua, pemain-pemain saya benar-benar menyahut cabaran,
“Kami tidak takut dan kami benar-benar menyerang,” katanya.
Romulo yang menjaringkan gol pembukaan Leipzig mengakui pasukannya gagal mengekalkan fokus.
“Kami bermain sangat baik selama 75 minit, kemudian saya sendiri tidak tahu apa yang berlaku. Kami seolah-olah mematikan minda. Kami perlu belajar daripada situasi ini,” katanya.
Leipzig membuka jaringan pada minit ke-20 apabila Romulo melepasi kawalan Tah untuk menyudahkan hantaran Antonio Nusa.
Namun Bayern menyamakan kedudukan sejurus selepas rehat apabila Dayot Upamecano merampas bola daripada Christoph Baumgartner sebelum Gnabry menyudahkannya ke penjuru gawang.
Bayern kemudian mendahului pada minit ke-67 hasil kesilapan Leipzig apabila hantaran Olise disangka tidak berbahaya, namun Ridle Baku tergelincir, memberi ruang luas kepada Kane untuk melepaskan rembatan padu.
Dengan pertahanan Leipzig runtuh, Tah, Pavlovic dan Olise menambah tiga gol dalam tempoh 10 minit terakhir, manakala Jamal Musiala kembali beraksi lewat permainan selepas enam bulan berehat akibat kecederaan.
Dalam satu lagi perlawanan, penalti Emre Can pada minit kelima masa kecederaan menyelamatkan Borussia Dortmund daripada aib apabila menang 3-2 ke atas pasukan bawahan, St Pauli.
Dalam aksi lain, Hoffenheim menewaskan Bayer Leverkusen 1-0 hasil sepakan percuma Wouter Burger, sekali gus melonjak ke tangga ketiga liga.
Keputusan lain menyaksikan Cologne menewaskan Mainz 2-1, Wolfsburg seri 1-1 dengan Heidenheim, manakala Hamburg terikat tanpa jaringan menentang Borussia Moenchengladbach.
© New Straits Times Press (M) Bhd




