Kane mahu tinggalkan Spurs

Kane mahu tinggalkan Spurs

LONDON: Penyerang Tottenham, Harry Kane memberitahu dia mahu meninggalkan kelab itu pada penamat musim menurut laporan semalam.

Kane tidak gembira dengan kurangnya peningkatan di Tottenham musim ini dan bersedia meninggalkan kelab itu selepas 12 tahun di utara London, menurut Sky Sports.

Kapten England itu dilaporkan mahu masa depannya diselesaikan sebelum bermula Euro 2020 pada 11 Jun.

Kontrak Kane bersama Tottenham berbaki tiga tahun dan pengerusinya, Daniel Levy diketahui sebagai seorang yang sukar mengalah yang boleh menyukarkan harapan pemain berusia 27 tahun itu mencari penyelesaian.

Tottenham enggan dikaitkan dengan masa depan Kane secara umum ketika mereka fokus bagi dua perlawanan terakhir Liga Perdana dan menyasarkan layak ke saingan Liga Europa.

“Kami tidak akan memberi komen – fokus kami ialah menamatkan musim sebaik mungkin. Itulah sepatutnya menjadi fokus semua orang,” kata jurucakap kelab.

Juara Liga Perdana, Manchester City; Manchester United dan finalis Liga Juara-Juara, Chelsea semuanya disebut sebagai kelab sesuai buat Kane, yang sudah meledak 32 gol dalam semua kejohanan musim ini.

Paris Saint-Germain yang diterajui bekas bos Kane di Tottenham, Mauricio Pochettino serta gergasi Sepanyol, Real Madrid have juga dikatakan berminat dengan penyerang itu. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top