Kane meletup, Bayern belasah Pafos 5-1

Kane meletup, Bayern belasah Pafos 5-1

Limassol (Cyprus): Harry Kane terus membuktikan ketajamannya apabila meledak dua gol ketika Bayern Munich membelasah pendatang baharu Liga Juara-Juara, Pafos 5-1, awal pagi tadi.

Penyerang England itu membuka tirai jaringan pada minit ke-15 sebelum menggandakan gol peribadinya pada minit ke-34 sekali gus mencatat gol ke-102 bersama kelab Bavaria.

Kane kini mengumpul empat gol dalam dua aksi UCL musim ini selain 20 gol keseluruhan bersama kelab dan negara sejak bermula musim.

Raphael Guerreiro turut menemui sasaran pada minit ke-21 selepas bergandingan satu-dua bersama Nicolas Jackson.

Jackson, penyerang pinjaman dari Chelsea, kemudian meledak gol ketiga menerusi hantaran Michael Olise pada minit ke-31.

Pafos berjaya merapatkan kedudukan sebelum rehat menerusi rembatan deras Mislav Orsic yang menewaskan Manuel Neuer pada penampilan ke-152 penjaga gol veteran itu dalam saingan Eropah, sekali gus menyamai kedudukan kelima senarai penampilan terbanyak.

Namun, Bayern terlalu ampuh. Olise melengkapkan pesta gol pada minit ke-69, sementara dua lagi percubaan Die Roten sekadar singgah di palang gol pada penghujung perlawanan.

Bayern kini mengutip enam mata penuh selepas dua perlawanan dan akan melayan kunjungan Club Brugge pada 22 Oktober ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top