Kane 'ponteng' ujian pramusim

Kane 'ponteng' ujian pramusim

LONDON: Harry Kane dilaporkan gagal hadir untuk ujian pramusim yang dijadualkan Tottenham hari ini, ketika spekulasi semakin memuncak bahawa penyerang itu ingin memaksa perpindahan ke Manchester City.

Kane yang juga kapten England dijadualkan kembali ke pusat latihan Tottenham untuk menjalani ujian coronavirus dan penilaian kecergasan berikutan percutian tiga minggu selepas Euro 2020.

Namun, laporan meluas mengatakan Kane tidak muncul di pangkalan Tottenham di Enfield, mencetuskan perdebatan baharu bahawa dia bertekad untuk berhijrah ke juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City.

Tottenham, yang akan berdepan skuad kendalian Pep Guardiola pada hujung minggu pembukaan musim baharu Liga Perdana, menolak untuk mengeluarkan kenyataan mengenai ketiadaan Kane.

Pemain berusia 28 tahun itu secara terbuka meluahkan keinginannya untuk meninggalkan Tottenham pada akhir musim lalu.

Kane kecewa dengan kegagalan Tottenham memenangi trofi utama sejak 2008 dan kekecewaan terbaru mereka ketika tewas di final Piala Liga musim lalu menentang Manchester City.

Dia yakin memiliki ‘perjanjian’ dengan Tottenham yang membolehkannya berpindah tahun ini. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top