Kantoi guna bas sekolah bawa pekerja kilang

Kantoi guna bas sekolah bawa pekerja kilang

am@hmetro.com.my

Nilai: “Maaf tuan !, ini baru pertama kali saya guna bas ini untuk bawa pekerja bagi menggantikan bas kilang yang rosak,” ujar seorang pemandu bas yang memberikan alasan ketika ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu operasi, baru-baru ini.

Pemandu bas berusia 40 tahun itu ditahan JPJ Negeri Sembilan selepas disyaki menyalahgunakan permit bas sekolah untuk membawa pekerja.

Dia berkata, majikannya mempunyai dua permit iaitu bas pekerja dan bas sekolah, namun bas yang sepatutnya membawa pekerja kilang mengalami kerosakan dan terpaksa digantikan dengan bas sekolah.

Bagaimanapun hasil risikan dan maklumat diperolehi JPJ mendapati bas atau syarikat berkenaan beroperasi di luar kawasan dibenarkan di dalam permit.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, alasan berkenaan antara sering digunakan pemandu bas pekerja kononnya bas itu baharu digunakan pada hari mereka ditahan

“Alasan biasa yang digunakan adalah tidak tahu bahawa membawa pekerja kilang memerlukan permit, gunakan bas ganti, mendapatkan arahan daripada majikan supaya membawa penumpang yang ditetapkan selain kononnya permohonan permit masih dalam proses.

“Mereka menggunakan bas persiaran atau bas sekolah untuk membawa pekerja kilang yang mana ia salah guna permit, selain ada yang memang tiada permit langsung. Malah bas hanya dicat dengan warna biru dengan tulisan ‘BAS PEKERJA’,” katanya.

Jelas beliau, modus operandi pihak terbabit adalah dengan bergerak awal pagi dan menggunakan jalan yang bukan laluan utama bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Hanif Yusabra berkata, antara tindakan yang dikenakan adalah mengikut Seksyen 16(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 iaitu bagi kesalahan beroperasi tanpa lesen pengendali yang mana bas boleh disita dan dilucuthak.

“Sepatutnya kenderaan atau bas mesti mempunyai permit sah, pemandu mempunyai lesen CDL dan PSV serta kenderaan perlu melalui pemeriksaan di pusat pemeriksaan. Semua peraturan berkaitan dengan kepentingan keselamatan penumpang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada 2025 sebanyak 264 kenderaan membawa pekerja diambil tindakan membabitkan 672 notis manakala setakat 15 Februari tahun ini sebanyak 12 kenderaan dengan 23 notis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top