'Kantoi' guna duit syarikat, lelaki tikam diri sendiri, reka cerita disamun

'Kantoi' guna duit syarikat, lelaki tikam diri sendiri, reka cerita disamun

am@hmetro.com.my

Georgetown: Pemandu lori sanggup menikam dirinya sendiri supaya tidak ‘kantoi’ dengan majikan selepas menggunakan wang syarikat dipercayai bagi kegiatan judi.

Dalam kejadian di Jalan Minden 1 di sini, semalam, lelaki berkenaan didakwa sanggup menikam dirinya sendiri dengan pisau sebelum mereka cerita bahawa dia disamun.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang individu ditikam dalam kejadian samun.

Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan warga tempatan berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori makanan beku.

“Dia mendakwa disamun tiga lelaki warga tempatan dan ditikam di bahagian perut jam 7.45 petang di lokasi berkenaan.

“Lelaki terbabit memaklumkan kejadian itu kepada majikan selepas ditanya mengenai kelewatannya kembali ke pejabat sebelum majikan menghantar pekerja lain bagi mencarinya di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut Abdul Rozak berkata, lelaki berkenaan ditemukan cedera dalam lori dan kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) rawatan lanjut.

Katanya, pisau yang digunakan dalam kejadian adalah berukuran 22.5 sentimeter panjang dan kedalaman luka di bahagian perut adalah 3.5cm.

“Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut mendapati lelaki itu sebenarnya bukan disamun dan ditikam.

“Dia sudah membelanjakan kutipan hasil jualan produk syarikat sebanyak RM3,000 dan mereka cerita kejadian samun palsu ini bagi menipu majikan,” katanya lagi.

Sementara itu, majikan mangsa berkata suspek baharu tiga bulan berkerja sebagai pemandu lori penghantar makanan laut sejuk beku di syarikatnya dan didakwa sudah beberapa kali terbabit dengan kehilangan wang syarikat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top