Kantoi simpan dadah RM1.01 juta dalam MPV 'lari hutang', lelaki berdepan hukuman Seksyen 39B

Kantoi simpan dadah RM1.01 juta dalam MPV 'lari hutang', lelaki berdepan hukuman Seksyen 39B

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang lelaki tempatan menjadikan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang disyaki ‘lari dari hutang’ untuk dijadikan tempat menyimpan dadah sebelum diedarkan.

Tindakan itu dipercayai untuk mengaburi mata pihak berkuasa sekali gus mengubah modus operandi yang biasa iaitu menyimpan dadah di premis-premis kediaman.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan kira-kira jam 7.40 malam, Sabtu lalu, di sekitar daerah ini sebelum dipandu arah ke sebuah rumah dipercayai milik bapa suspek itu.

Beliau berkata, serbuan kemudian dibuat di rumah teres dekat Taman Mount Austin di sini, sebelum pemeriksaan dijalankan ke atas MPV Perodua Alza berwarna biru yang diparkir di hadapan rumah itu.

“Hasil pemeriksaan, kita menjumpai 21 bungkusan yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 20,228 gram atau 20.228 kilogram dianggarkan bernilai RM1.01 juta.

“Siasatan awal mendapati kenderaan itu milik seorang lelaki di Sungai Petani, Kedah, yang mana ia sedang diburu institusi kewangan sebelum diserahkan kepada suspek untuk sambung bayar, namun disalah gunakan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain kenderaan itu disita, polis turut merampas wang tunai RM530 daripada suspek yang juga pengedar dadah di daerah ini, yang mana suspek menyasarkan penagih dadah dan pusat-pusat hiburan.

Katanya, dadah itu jika terlepas ke pasaran akan merosakkan lebih 101,140 penagih.

“Hasil siasatan dan risikan kuga kita percaya aktiviti pengedaran sindiket ini aktif sejak Disember 2025,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek megatif dadah, namun semakan rekod mendapati dia mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Siasatan masih dijalankan termasuk mengesan beberapa individu lagi yang disyaki terbabit dengan sindiket pengedaran dadah ini dan suspek juga masih ditahan reman sehingga Khamis ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top