harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiga kapal tentera laut Myanmar yang membawa pulang 1,476 warganegara itu yang ditahan di Malaysia, baru-baru ini, dilaporkan bakal berlabuh di tanah air mereka, esok.
Portal berita Myanmar, Popular News Journal melaporkan, ketiga-tiga kapal berkenaan yang berlepas dari Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di Perak, Malaysia pada 29 September lalu, memasuki perairan Myanmar pada 1 Oktober.
Menurut laporan, tiga kapal terbabit disambut dan diiringi oleh beberapa kapal tentera laut Myanmar sejurus masuk ke kawasan perairan negara itu. Ia kemudian belayar menuju ke pelabuhan tentera di Thilawa kira-kira 25 kilometer dari Yangon.
Salah seorang warga Myanmar yang menjadi antara individu dihantar pulang itu berkata, mereka gembira apabila diberitahu bakal dibebaskan dari depoh imigresen untuk dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing.
“Malam sebelum pulang, kami tidak dapat tidur sepanjang malam kerana kami tahu kami akhirnya akan pulang ke negara kami, Myanmar. Semasa tinggal di luar memang sukar, tetapi keadaan tempat tinggal dan makanan di dalam pusat tahanan sangat teruk.
”Melihat bendera Myanmar membuatkan kami sebak, saya sangat gembira sehingga tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” katanya dalam satu temu bual bersama portal berita berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan 1,476 tahanan warga Myanmar di Malaysia dihantar pulang menaiki tiga kapal tentera laut yang berlepas dari Pangkalan TLDM Lumut, di Perak pada 29 September.
Pelaksanaan itu diselaraskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Imigresen Malaysia serta agensi berkaitan, yang mana penyelesaian itu dicapai melalui pendekatan diplomatik dan rundingan secara langsung dengan Kerajaan Myanmar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




