Kapal bawa muatan 12 tan ikan tuna berlabuh tanpa kebenaran

Kapal bawa muatan 12 tan ikan tuna berlabuh tanpa kebenaran

am@hmetro.com.my

Georgetown: Kapal nelayan komersial membawa muatan ikan tuna ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia), disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan negara dekat sini, semalam.

Ia ditahan pada 7 malam di kedudukan kira-kira 10 batu nautika barat laut Muka Head, Teluk Bahang.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pemeriksaan mendapati vesel itu membawa muatan 12 tan ikan tuna, dengan kendalian 13 kru warga Indonesia dan China.

“Kesemua kru terbabit memiliki dokumen pengenalan diri yang sah namun, pemeriksaan lanjut mendapati vesel itu tidak memiliki kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Susulan itu, kapten dan ketua jurutera kapal yang masing-masing berusia 50 dan 59 tahun dibawa ke Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 491B(1), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim negara terutama membabitkan aktiviti mencurigakan di perairan strategik seperti Pulau Pinang.

Katanya, pihaknya juga akan terus mempertingkatkan pengawasan dan menyeru seluruh komuniti maritim untuk lebih peka dan mematuhi undang-undang negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top