Kapal kontena ditahan, berlabuh tanpa kebenaran

Kapal kontena ditahan, berlabuh tanpa kebenaran

bhnews@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan sebuah kapal kontena yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Kukup, Pontian.

Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal kontena yang berdaftar dari Portugal ditahan pada jam 8.20 malam semalam.

Beliau berkata, ia ditahan di kedudukan 2.9 batu nautika tenggara Pulau Kukup di sini.

Ketika mengadakan rondaan rutin, beliau berkata, Maritim Malaysia mengesan kapal kontena berkenaan bersauh di lokasi yang tidak dibenarkan itu.

Katanya, nakhoda kapal didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan ketibaan di perairan negara ini.

“Pemeriksaan awal mendapati kapal terbabit dikendalikan oleh 19 kru termasuk nakhoda.

“Mereka termasuk warga Russia, Filipina dan Ukraine yang berusia antara 23 hingga 62 tahun dan pemeriksaan mendapati, kesemuanya memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Nurul Hizam berkata, nakhoda dan seorang kru kapal kontena berkenaan dibawa ke Unit Siasatan Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

“Jika disabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kita ingin menasihati semua pemilik dan nakhoda kapal supaya memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi sebelum memasuki dan bersauh di perairan negara ini.

“Maritim Malaysia akan sentiasa memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara dipelihara.

“Malah bagi menyalurkan aduan berkaitan boleh menghubungi Maritim Negeri Johor di talian 07- 219 9404 atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top