JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia pada Jumaat memaklumkan bahawa mereka berjaya merampas dadah bernilai jutaan dolar dalam dua operasi besar di Pulau Sumatera dalam tempoh beberapa hari.
Ketua Polis Negara, Suyudi Ario Seto berkata, polis dan pegawai kastam memintas sebuah kapal yang membawa 1.1 tan ketamin di perairan berhampiran Sumatera pada Selasa, sebelum menemukan makmal haram memproses dadah jenis methamphetamine cecair di wilayah Aceh sehari kemudian.
Pasukan risikan mula menjejaki kapal tangki MT Global 168 yang belayar dari Thailand melalui Laut Andaman pada Ogos selepas menerima maklumat bahawa kapal itu mungkin terbabit dalam kegiatan mencurigakan, kata Suyudi kepada pemberita di Medan.
Memuatkan artikel berkaitan…
Kapal itu mengibarkan bendera Mongolia tetapi dimiliki sebuah syarikat yang berpangkalan di Johor Bahru, Malaysia, katanya.
Polis dan pegawai kastam memintas kapal berkenaan di Selat Melaka pada Selasa ketika dalam perjalanan menuju ke Pelabuhan Klang, Malaysia, sebelum membawanya ke Pelabuhan Belawan di Sumatera Utara untuk pemeriksaan.
“Daripada operasi pemeriksaan ini, pasukan gabungan berjaya merampas dadah terlarang jenis ketamin HCL (hidroklorida). Bahan bukti itu ditemukan dalam 58 guni dengan jumlah berat mencecah 1.16 tan,” kata Suyudi.
Ketamin lazimnya digunakan sebagai ubat bius bertindak pantas, tetapi turut disalahgunakan secara meluas sebagai dadah rekreasi haram. Pengedaran bahan itu dikawal ketat dan dipantau di Indonesia.
Pihak berkuasa menahan lapan anak kapal, terdiri daripada tujuh warga Indonesia dan seorang warga Taiwan.
Suyudi berkata, polis menganggarkan nilai dadah yang dirampas itu berjumlah 3.48 trilion rupiah (RM785 juta).
Rampasan itu dilakukan lebih dua bulan selepas pihak berkuasa Indonesia memintas sebuah kapal yang membawa 1.3 tan ketamin dari Thailand, yang disembunyikan dalam 65 guni berhampiran Kepulauan Riau.
Pada Rabu, pihak berkuasa menyerbu sebuah makmal haram memproses methamphetamine di Kabupaten Pidie, wilayah Aceh dan merampas 1.2 tan dadah itu, kata Suyudi.
Dadah berkenaan dianggarkan bernilai 2.16 trilion rupiah (RM487 juta) .
Beliau berkata, 11 individu, terdiri daripada sembilan warga Indonesia dan dua warga China, ditahan di beberapa lokasi sepanjang operasi itu.
Indonesia mempunyai antara undang-undang antidadah paling ketat di dunia, termasuk hukuman mati bagi pengedar dadah, tetapi negara itu mengekalkan moratorium pelaksanaan hukuman mati sejak beberapa tahun lalu. – AFP




