lokman.khairi@hmetro.com.my
Serdang: Semua sembilan kapal misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) dijangka memasuki zon kuning di 150 batu nautika dari perairan Gaza tengah malam esok.
Ketua Pegawai Eksekutif, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, kapal yang membawa doktor perubatan, aktivis dan wartawan itu kini berada di perairan antarabangsa berdekatan Mesir sekitar 200 batu nautika dari perairan Gaza, setakat jam 7 pagi waktu Malaysia.
Menurutnya, kapal Conscience yang membawa lapan aktivis Malaysia akan meneruskan pelayaran dengan knot perlahan.
“Ini bagi membolehkan mereka belayar seiring dan bergabung dengan lapan kapal yang lain memasuki zon kuning di 150 batu nautika yang dijangka pada tengah malam Rabu.
“Berdasarkan pengalaman misi terdahulu, zon kuning yang bermula 150 batu nautika dari Gaza itu mempunyai rekod insiden gangguan oleh rejim Zionis dan jangkaan yang sama mungkin akan berlaku terhadap FFC x TMTG kali ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MyCARE di sini, hari ini.
Seramai lapan delegasi Malaysia kini sedang belayar di atas kapal Conscience dengan seorang lagi delegasi di atas kapal layar Umm Saad bagi misi FFC x TMTG.
Kapal terbesar Conscience membabitkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga Ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.
Delegasi Malaysia diketuai oleh MyCare, manakala seramai 93 peserta dari 22 negara berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu.
Secara keseluruhan misi ini melibatkan 150 peserta dari 25 negara termasuk sembilan delegasi Malaysia.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, persediaan mental dan ‘mind-setting’ peserta adalah sangat kritikal dalam misi ini.
“Beberapa latihan sudah dijalankan, sebelum berlayar termasuk simulasi bagaimana peserta akan beri reaksi jika berlaku kekerasan dari pihak tentera Israel, peserta diminta sangat-sangat supaya sentiasa tenang dan tidak bertindak agresif.
“Kita elak sebarang provokasi yang boleh dijadikan alasan oleh Israel untuk bertindak agresif,” katanya.
Beliau berkata, peserta yang didapati cenderung agresif akan diminta untuk tidak menyertai misi ini bagi mengelakkan komplikasi yang boleh menjejaskan peserta lain.
“Ini adalah antara proses saringan dan latihan yang sentiasa menekankan ‘mind set’ hanya untuk mengelak tentera Israel bertindak secara agresif. Ini yang paling penting pada ketika ini.
“Tentunya mereka terkesan dengan penahanan Global Sumud Flotilla (GSF) sebelum ini. Itu yang mereka perlu lagi untuk kekal fokus kepada misi utama,” katanya.
Pelayaran FFC x TMTG merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan, selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.
Lapan aktivis Malaysia yang menaiki kapal Conscience milik FFC itu terdiri daripada ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil, dua orang pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




