Kapal tempur pesisir TLDM: Keputusan lesen eksport NSM bawah pihak berkuasa Norway – KDA

Kapal tempur pesisir TLDM: Keputusan lesen eksport NSM bawah pihak berkuasa Norway – KDA

Kuala Lumpur: Syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) dari Norway menjelaskan bahawa semua keputusan berkaitan lesen eksport bagi pembekalan peluru berpandu anti kapal (NSM) untuk kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah di bawah bidang kuasa penuh pihak berkuasa Norway.

Jurucakap KDA, Ivar Simensen berkata syarikat berkenaan beroperasi sepenuhnya mengikut rangka kerja perundangan yang ditetapkan oleh kerajaan Norway.

“Keputusan berkaitan lesen eksport dikendalikan oleh pihak berkuasa Norway. Kami mematuhi sepenuhnya semua peraturan yang berkuat kuasa dan tidak akan mengulas mengenai perkara khusus berkaitan lesen,” katanya menerusi e-mel kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan komitmen jangka panjang syarikat itu terhadap rantau ini kekal kukuh.

“Kami kekal komited terhadap kerjasama dan aktiviti jangka panjang kami di rantau ini,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik bagi mendapatkan penjelasan lanjut serta membincangkan langkah sewajarnya berhubung isu pembatalan perolehan NSM daripada KDA.

Kementerian Luar Norway dilaporkan telah menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu, sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan eksport negara itu.

Menurut laman web KDA, perolehan NSM dimeterai antara TLDM dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam buah kapal LCS baharu.

Peluru berpandu itu berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan jarak melebihi 300 kilometer.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top