MADRID – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan semua individu di atas kapal persiaran MV Hondius sebagai kontak berisiko tinggi susulan penularan hantavirus yang menyebabkan tiga kematian.
Pengarah Kesiapsiagaan dan Pencegahan Epidemik serta Pandemik WHO, Maria Van Kerkhove berkata, semua penumpang dan kru kapal berkenaan perlu dipantau secara aktif selama 42 hari selepas turun daripada kapal.
“Kami mengklasifikasikan semua orang di atas kapal MV Hondius sebagai kontak berisiko tinggi,” katanya dalam satu taklimat akhbar, lapor China Daily.
Menurut Maria, setakat ini tiada individu di atas kapal menunjukkan sebarang gejala, namun WHO tetap mengesyorkan pemantauan aktif dan susulan dilakukan terhadap semua penumpang serta kru.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan risiko kepada penduduk di Kepulauan Canary, Sepanyol, tempat kapal itu dijangka berlabuh, kekal rendah.
Berdasarkan kemas kini Berita Wabak Penyakit WHO, penyakit pernafasan teruk mula dilaporkan di atas MV Hondius pada 2 Mei lalu.
Ketika itu, kapal tersebut membawa 147 penumpang dan anak kapal, manakala 34 individu lain sudah turun sebelum itu.
WHO memaklumkan semua pusat hubungan di negara-negara terlibat telah dimaklumkan dan kini menyokong proses pengesanan kontak di peringkat antarabangsa.
Setakat 8 Mei lalu, sebanyak lapan kes bergejala direkodkan termasuk tiga kematian, manakala enam kes disahkan sebagai jangkitan hantavirus virus Andes (ANDV).
Menurut WHO, gejala awal jangkitan hantavirus termasuk sakit kepala, pening, seram sejuk, demam, sakit otot atau myalgia, selain masalah gastrousus seperti loya, muntah, cirit-birit dan sakit perut.
WHO turut mengesyorkan kontak berisiko rendah supaya melakukan pemantauan kendiri, mendapatkan penilaian perubatan dan memakai pelitup muka.
Saranan itu dibuat kerana kemungkinan penularan pragejala dalam wabak ANDV sebelum ini tidak dapat diketepikan sepenuhnya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus cuba meredakan kebimbangan penduduk Pulau Tenerife dengan menegaskan risiko kesihatan awam masih rendah ketika MV Hondius menghampiri Kepulauan Canary.
Kapal yang membawa 147 orang itu dijangka tiba hari ini.
Wabak itu dilaporkan muncul selepas MV Hondius belayar dari Cape Verde.
Pihak berkuasa Sepanyol memaklumkan semua penumpang akan turun di pelabuhan perindustrian Granadilla sebelum dipindahkan menggunakan kenderaan tertutup ke lapangan terbang untuk dihantar pulang dan menjalani kuarantin di negara masing-masing.
Sementara itu, 14 penumpang warga Sepanyol di atas kapal terbabit akan dipindahkan ke sebuah kemudahan tentera berhampiran Madrid sebelum dikuarantin di Hospital Gomez Ulla. – Agensi



