ALOR SETAR: Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) mendapati kapasiti pengeluaran air harian di beberapa loji rawatan air (LRA) menunjukkan trend penurunan yang berpunca daripada Fenomena El Nino.
Agensi itu memaklumkan, Jabatan Meteorologi melaporkan fenomena cuaca kering dan panas yang sedang berlaku di seluruh negara dijangka berterusan sehingga suku kedua tahun ini.
Menurut SADA, beberapa kawasan di Kedah dijangka turut terkesan dengan situasi itu terutama lokasi yang memperoleh bekalan air dari LRA jenis Headworks yang beroperasi secara separa rawatan dan bergantung kepada kualiti serta kuantiti air mentah semasa.
“Daripada 35 LRA di seluruh Kedah, empat daripadanya merupakan LRA jenis Headworks yang menerima sumber bekalan air mentah daripada gunung atau bukit.
“Antaranya LRA Merbok, LRA Tupah dan LRA Gurun di daerah Kuala Muda serta LRA Pulau Tuba di Langkawi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
SADA turut memaklumkan, antara kawasan yang berisiko terjejas sepanjang musim kemarau adalah Merbok, Semeling, Tikam Batu, Tanjung Dawai, Pengkalan Bujang, Bedong, Gurun dan Pulau Tuba.
Jelasnya, pengguna dinasihatkan untuk menjimatkan penggunaan air sepanjang musim kemarau ini.
“SADA komited mengatasi isu ini dengan mengambil beberapa tindakan antaranya pemantauan rapi dan berkala paras sungai di semua muka sauk dan pemantauan kualiti air mentah secara lebih kerap bagi mengawasi kejadian-kejadian pelanggaran kualiti terutamanya daripada aspek bau dan warna.
“Sesi libat urus bersama agensi kerajaan berkaitan diadakan bagi pelaksanaan tindakan mitigasi seperti pelepasan air empangan utama serta pembenihan awan dan mengaktifkan Pelan Tindak Balas Kecemasan (ERP) untuk bekalan air sekiranya paras air sungai serta empangan menjadi terlalu rendah,” ujarnya.
Kenyataan itu turut memaklumkan, SADA juga akan melakukan pembaikan kebocoran paip agihan utama dan retikulasi selain menyediakan sokongan logistik dalam memobilisasi bekalan air melalui lori tangki dan tangki statik. -UTUSAN




